Pengeluaran RM40 bilion KWSP rangsang ekonomi, kata kumpulan perniagaan


Khoo Gek San

Pengeluaran khas KWSP disambut baik kumpulan perniagaan yang mahu meningkatkan pendapatan terutamanya sempena perayaan Aidilfitri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2022.

PENGELUARAN khas simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 bilion adalah berita yang disambut baik untuk perniagaan yang mahu meningkatkan pendapatan terutamanya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, kata kumpulan peniaga barangan dan runcit.

Lebih 5 juta permohonan pengeluaran berjumlah RM40 bilion dibuat menerusi tabung persaraan bulan lepas selepas kemudahan pengeluaran khas sehingga RM10,000 seorang dibuka pada 1 April. Ini adalah pengeluaran khas keempat yang dibenarkan kerajaan bagi membantu rakyat berdepan cabaran kewangan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan ekonomi yang perlahan.

Dana tambahan akan membantu perniagaan pulih, kata kumpulan perdagangan dan tepat pada masanya seiring dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan melonggarkan sekatan pergerakan.

“Orang ramai kini boleh pulang ke kampung halaman dan tiada lagi sekatan ke atas perayaan. Keluarga boleh keluar ke pusat membeli-belah pada hujung minggu dan berbelanja serta semua ini membantu meninggalkan jualan,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Tomei Ng Yih Pyng.

Beliau berkata perniagaan barangan kemas kembali aktif selepas dua tahun sekatan dan jualan yang lemah.

Banyak kedai dalam Kumpulan Tomei melaporkan peningkatan dalam perniagaan sejak dana persaraan mula mengkreditkan pengeluaran kepada pemohon mulai 18 April, kata Ng.

Peruncit emas dan barangan kemas juga menyaksikan lonjakan semula jualan sejak Disember yang berterusan sehingga Tahun Baharu Cina awal tahun ini. Ng menyifatkan ia sebagai “pembelian balas dendam” apabila orang ramai kembali membeli-belah selepas dua tahun sekatan pergerakan Covid-19.

Terdapat penurunan dalam jualan selepas Tahun Baharu Cina hingga Mac apabila bilangan jangkitan Omicron tinggi dan kebimbangan mengenai inflasi.

Oleh itu pengeluaran terbaharu KWSP akan membantu meningkatkan aktiviti ekonomi dan perniagaan menjangkakan dana itu akan merangsang lebih banyak penggunaan, kata Ng.

“Mulai 20 April kedai Tomei membuat lebih banyak jualan kepada orang ramai ingin membeli barang kemas menjelang Hari Raya. Kami tidak fikir ini adalah kemuncaknya kerana beberapa pemohon masih belum menerima dana daripada pengeluaran mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah Ng bukan orang Melayu sahaja yang membeli barang kemas dan emas menjelang Hari Raya. Setiap kali perayaan jualan cenderung meningkat dan pembeli adalah daripada setiap kumpulan etnik.

Pengarah Urusan Kumpulan Mydin Ameer Ali Mydin berkata cawangan perniagaannya hampir pulih ke tahap pra-pandemik Hari Raya pada 2019.

“Pengeluaran khas KWSP sudah pasti salah satu faktornya. Juga bonus untuk penjawat awam,” katanya.

Ameer Ali bagaimanapun menyatakan walaupun orang ramai tidak sabar untuk berbelanja, harga beberapa barangan juga meningkat yang mungkin menyebabkan orang ramai kurang berbelanja.

Kos pakaian lebih mahal dan bahan mentah untuk biskut seperti marjerin kekurangan bekalan, katanya.

Apa yang laris tambahnya adalah bakul hadiah Hari Raya dan barangan seperti keperluan sekolah yang disediakan oleh kumpulan amal sebagai sumbangan kepada fakir miskin dan rumah anak yatim.

Pengerusi Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia Tan Thian Poh bersetuju harga pakaian sedia untuk dipakai adalah lebih tinggi dan menjelaskan ini disebabkan oleh isu bekalan yang melibatkan China di mana pakaian dikilangkan dan di mana Shanghai berada di bawah perintah berkurung.

“Ramai pembekal tidak dapat menghantar tepat pada masanya kerana kenaikan harga bahan mentah dan penutupan di Shanghai. Rantaian bekalan juga mempunyai masalah dengan pengangkutan,” katanya.

Kira-kira 20% hingga 30% pakaian adalah dari sumber tempatan dan selebihnya diimport, tambah Tan.

Tetapi pengilang tempatan juga berdepan kekurangan pekerja menyebabkan pengeluaran berkurangan kira-kira separuh.

Beliau meramalkan kenaikan harga pakaian pada masa akan datang selepas stok semasa yang berlebihan dari wabak itu dihabiskan.

“Harga tekstil dan pakaian dijangka melonjak sebanyak 30% hingga 40% disebabkan faktor seperti kekurangan bahan mentah global, kos pengangkutan yang tinggi dan kadar pertukaran ringgit yang lemah,” katanya.

Walaupun perniagaan mungkin menyambut baik pengeluaran KWSP, seorang ketua kumpulan perusahaan kecil dan sederhana berkata beliau masih akan menasihati pencarum KWSP agar tidak mengeluarkan dana yang bertujuan untuk persaraan mereka melainkan mereka berdepan kecemasan.

Pengerusi Jawatankuasa PKS Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) Koong Lin Loong berkata orang ramai menggunakan dana yang dikeluarkan untuk membeli barangan perayaan, yang mana bukan untuk perbelanjaan kecemasan.

“Saya cadangkan orang yang berpendapatan seboleh-bolehnya tidak mengeluarkan dana KWSP mereka. Apabila sudah dikeluarkan, sukar untuk menyimpannya.

“Melainkan pendapatan mereka meningkat dengan dengan banyak pada masa hadapan ia akan menjejaskan simpanan dan faedah,” katanya. – 27 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen