Budiman berbudi di sekolah politik untuk anak muda


Amin Iskandar

Budiman Mohd Zohdi, Adun Sungai Panjang dan ahli Parlimen Sungai Besar yang disebut-sebut antara calon menteri besar Selangor sekiranya BN berjaya merampas negeri itu mula mendekati anak muda tanpa mengira fahaman politik dengan Sekolah Komunikasi Politik (SKOP). – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Februari, 2018.

BUDIMAN Mohd Zohdi, yang disebut-sebut sebagai salah seorang calon menteri besar sekiranya Umno berjaya merampas kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mendekati anak muda tanpa mengira latar belakang politik dengan Sekolah Komunikasi Politik (SKOP) yang dimulakan sejak Ogos tahun lalu.

Ahli Parlimen Sungai Besar merangkap ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu berkata, SKOP merupakan cara beliau melakukan proses pengkaderan yang dirasakan sangat penting bagi sesebuah parti politik seperti Umno.

“Proses pengkaderan menjadi tunjang kepada sejauh mana engagement jentera politik dengan parti politik atau pemimpin politik.

“Sebab itu kalau kita lihat, di pihak pembangkang mereka ada Sekolah Demokrasi, saya bukan menyediakan alternatif, tetapi kita berikan satu nilai tambah ilmu dari segi komunikasi politik,” kata naib ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini.

SKOP merupakan inisiatif Budiman dan terbuka kepada golongan muda yang mahu mempelajari ilmu komunikasi politik yang diberikan tenaga pengajar profesional seperti pensyarah universiti secara percuma.

Sekolah Demokrasi merupakan program dianjurkan DAP untuk mendedahkan peserta kepada hal-hal kenegaraan, demokrasi dan politik dengan kaedah santai.

Jelas Budiman, SKOP bagaimanapun bukan agenda untuk menambah ahli Umno.

“Ia sekolah kemahiran untuk anak muda yang berminat belajar komunikasi politik. Ia terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada Umno sahaja,” tambahnya.

Beliau berkata, SKOP bertujuan untuk memberikan input dan kemahiran kominikasi politik kepada orang-orang muda disebabkan dunia politik yang sudah berubah dan semakin mencabar.

“Apatah lagi dengan kehadiran media sosial pada hari ini,” katanya.

Menurut Budiman, dengan memberikan ilmu dan kemahiran kepada “bakal pemimpin” yang datang dari pelbagai latar dan kecenderungan politik, beliau dapat mendekatkan diri kepada golongan muda.

Katanya, walaupun terdapat anak muda yang hadir mengikuti kelas SKOP cenderung kepada pembangkang, akhirnya mereka faham apa yang beliau perjuangkan dan ada juga menyertai Umno selepas itu.

“Yang datang kelas ini anak muda ramai. Ada 40 orang yang sudah ‘graduate’ angkatan pertama.

“Dan kelas ini saya pilih tenaga pengajar yang percuma. Yang kita buat setiap Rabu daripada 8.00 malam sampai 11 malam. Dan setiap minggu guru bertukar-tukar memberikan pandangan.

“Ada juga mereka (yang hadir) cenderung kepada PAS, cenderung kepada PKR, ada juga mereka yang cenderung kepada DAP,” kata Budiman yang juga merupakan pengerusi lembaga pengarah Institut Tejemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Menurut Budiman, SKOP lebih bertujuan untuk menanamkan semangat sayangkan negara tetapi menafikan ia mirip kepada Biro Tata Negara (BTN).

“Agar mereka berfikir secara rasional berdasarkan fakta yang mereka punyai,” katanya.

Budiman mengatakan peserta SKOP terdiri daripada anak muda pelbagai fahaman politik, matlamatnya mudah, melahirkan generasi muda yang politiknya matang, sistematik dan berstruktur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Februari, 2018.

Katanya, kelas SKOP yang diadakan di pejabat Yayasan Harapan Budi di Kuala Lumpur akan mengambil pelajar-pelajar baru pada Mac depan.

“Untuk batch pertama, masih belum ada bukan Melayu yang menyertai, saya harap untuk batch akan datang kita akan terima penyertaan daripada mereka,” katanya.

Atas usahanya seperti kelas SKOP inilah, Budiman baru-baru ini disebut oleh Pengerusi BN Selangor Noh Omar sebagai wakil rakyat BN paling cemerlang di Selangor.

Menteri Kabinet itu berkata, usaha Budiman menyantuni pengundi dalam usaha menawan kembali Selangor itu perlu dicontohi wakil rakyat BN di negeri itu.

SKOP didik politik matang

Salah seorang graduan SKOP Fairuz Jamaludin berterima kasih kepada Budiman di atas usahanya mengadakan kelas tersebut.

“SKOP mendidik tentang politik matang, sistematik dan berstruktur.

“Saya juga belajar mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian sekiranya mahu menjadi ahli politk,” kata pemuda berusia 38 tahun yang bekerja dalam sektor hartanah itu.

Fairuz berkata, walaupun Budiman merupakan seorang pemimpin Umno, SKOP tidak digunakan semata-mata untuk mempromosikan parti Melayu itu.

“Saya juga dapat belajar dari tenaga pengajar yang merupakan pakar dalam bidang masing-masing seperti ahli strategi, pakar sejarah dan pakar branding,” katanya yang enggan berkongsi parti mana yang disertainya.

Seorang lagi graduan Rafidah Mohd Arifin, 39, berkata, selain belajar ilmu komunikasi politik, pergaulan dengan ahli politik juga banyak memberikan manfaat kepadanya.

“Tidak kira apa parti politik sekalipun yang kita sertai, setiap pemimpin wajib mempunyai ilmu komunikasi politik.

“Contohnya Umno sendiri, walaupun Umno merupakan pertubuhan yang matang dari segi usianya, ilmu komunikasi politik perlu dipelajari kerana setiap zaman mempunyai kelainannya,” kata Rafidah yang bekerja sebagai perunding latihan.

Katanya, melalui SKOP banyak yang beliau dipelajari dan diharapkan ia akan diteruskan Budiman.

“Melalui SKOP saya belajar cara pembentukan imej pemimpin politik, cara menguruskan golongan media, rakyat dan cara menangani isu semasa,” kata bekas ketua Puteri Umno bahagian itu.

Budiman yang juga pengerusi lembaga pengarah ITBM turut menulis banyak buku bertujuan menggalakkan komunikasi politik yang sihat di negara ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Februari, 2018.

Siapa Budiman?

Nama Budiman meningkat naik selepas dicalonkan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 2016 selepas penyandang kerusi itu, Noriah Kasnon yang juga timbalan menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air terkorban dalam satu nahas helikopter di Sarawak.

Pada PRK itu, Budiman berjaya menewaskan calon Amanah Azhar Abdul Shukor dan calon PAS Abdul Rani Osman dengan majoriti besar sebanyak 9,191 undi.

Menurut Budiman, sewaktu masih di universiti, beliau sendiri mendapat latihan politik daripada Institut Kajian Dasar (IKD), sebuah kumpulan pemikir yang diasaskan timbalan perdana menteri pada ketika itu, Anwar Ibrahim.

“Pada ketika itu kami dibimbing oleh IKD di Bangsar. Dan IKD inilah yang memberikan penekanan-penekanan soal kursus, soal kepimpinan pada ketika itu.

“Ketika itu di IKD ada Kamaruddin Jaafar, kemudian Ezam Mohd Nor, Hamizon Hairuddin dan beberapa nama lagi,” kata Budiman yang pernah jadi pendebat terbaik universiti Asean pada tahun 1995.

Calon MB Selangor?

Sebelum ini The Malaysian Insight melaporkan, Umno menimbangkan tiga nama untuk jadi calon menteri besar Selangor sebagai persiapan menawan semula negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.

Tiga nama itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Adun Dengkil Shahrom Mohd Sharif dan Budiman sendiri.

Ketika ditanya tentang ura-ura dinamakan sebagai salah seorang calon menteri besar Selangor sekiranya BN menang pada PRU14, Budiman menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan.

“Pada saya kita kena menang dulu. Kemudian kita biarkan kepada pucuk pimpinan untuk tentukan,” katanya.

Pengundi di Sungai Besar juga baru-baru ini berkata mereka lebih cenderung mahu Budiman bertanding kerusi Parlimen biarpun bekas menteri kabinet, Shahrizat Abdul Jalil disebut-sebut turut berminat mahu bertanding di kawasan itu yang dikatakan kerusi tradisi Wanita Umno. – 14 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen