KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) perlu mengumumkan dengan nasihat yang tepat dan jelas kepentingan pemakaian pelitup muka jika mahu menarik balik mandat pemakaian itu, kata ahli Parlimen Bandar Kuching.
Dr Kelvin Yii berkata KKM perlu pertingkat usaha mendidik masyarakat tentang faedah pemakaian pelitup muka itu.
“Ini mungkin termasuk nasihat untuk kumpulan atau komuniti yang berbeza yang harus terus pakai pelitup muka walau di luar rumah, terutamanya mereka yang terdedah atau kontak rapat dengan kumpulan yang terdedah.
“Ini termasuk mereka dengan imuniti rendah, atau tinggal bersama seseorang yang imun lemah,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen DAP itu berkata adalah baik untuk terus memakai pelitup muka dan mengekalkan jarak sosial di sekitar orang yang tidak dikenali, terutama di kawasan tertutup yang mana virus mungkin lebih senang menular.
“Orang yang tidak divaksinasi termasuk kanak-kanak berada pada risiko yang sangat tinggi untuk dimasukkan ke hospital dan maut akibat Covid-19.”

Yii berkata demikian selepas Bukit Aman menarik balik surat edaran untuk tidak kenakan kompaun terhadap mereka yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Zaini Jass menjelaskan, pekeliling terdahulu yang mengarahkan kompaun tidak lagi dikeluarkan kini sudah pun ditarik balik.
“Pekeliling itu telah ditarik balik. Tidak benar. Masih status quo. Kami masih meneruskan penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan SOP Covid-19,” katanya ketika dihubungi.
Arahan untuk tidak mengeluarkan kompaun itu terkandung dalam edaran bertarikh 20 April yang dikeluarkan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Azmi Adam.
Yii berkata walaupun polis membatalkan edaran awalnya itu, ia juga menunjukkan kemungkinan mandat pelitup muka akan ditarik balik terutamanya untuk aktiviti luar.
“Pelitup muka juga merupakan satu kemestian di hospital atau kemudahan penjagaan kesihatan, di mana terdapat ramai orang yang terdedah.
“Akhirnya, setiap keputusan sama ada untuk longgar sekatan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 perlulah berdasarkan data dan sains.”
Tambah Yii salah satu sebab Malaysia tidak melihat lonjakan kes adalah disebabkan oleh SOP yang lebih konservatif termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka. – 22 April, 2022.
Komen