Masih wajib pakai pelitup muka, kata Bukit Aman


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Zaini Jass menjelaskan pekeliling terdahulu yang mengarahkan kompaun tidak lagi dikeluarkan kini sudah pun ditarik balik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2022.

KEWAJIPAN memakai pelitup muka masih lagi berkuat kuasa, menurut Bukit Aman yang menarik balik arahan untuk tidak mengeluarkan kompaun bagi kesalahan tersebut.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Zaini Jass menjelaskan, pekeliling terdahulu yang mengarahkan kompaun tidak lagi dikeluarkan kini sudah pun ditarik balik.

“Pekeliling itu telah ditarik balik. Tidak benar. Masih status quo. Kami masih meneruskan penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan SOP Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Arahan untuk tidak mengeluarkan kompaun itu terkandung dalam edaran bertarikh 20 April yang dikeluarkan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Azmi Adam.

Pekeliling itu menyatakan polis dijadualkan menghentikan tindakan saman kepada orang ramai yang gagal memakai pelitup muka di khalayak ramai.

Menurutnya, keputusan itu dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya.

“Tiada lagi saman akan dikeluarkan di atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, bagaimanapun pasukan pemantau hendaklah memberi nasihat agar mereka memakai pelitup muka,” katanya dalam edaran tersebut.

Malaysia memasuki fasa peralihan kepada endemik yang bermula 1 April.

Dengan peralihan itu, banyak SOP dibatalkan namun kewajipan memakai pelitup muka masih berkuatkuasa. – 21 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen