Tiada lagi saman kesalahan tidak pakai pelitup muka, kata Bukit Aman 


POLIS akan menghentikan tindakan saman kepada orang ramai yang gagal memakai pelitup muka di khalayak ramai, kata Bukit Aman hari ini.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Azmi Adam berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya.

Azmi berkata semua pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis hendaklah mengambil maklum SOP terkini itu.

“Tiada lagi saman akan dikeluarkan di atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, bagaimanapun pasukan pemantau hendaklah memberi nasihat agar mereka memakai pelitup muka,” kata Azmi dalam satu edaran bertarikh 20 April yang dilihat The Malaysian Insight.

Beliau berkata pasukan pematuhan Op Covid-19 perlu membuat pemantauan di bazar-bazar Ramadan dan Aidilfitri supaya mematuhi SOP penjarakan fizikal yang masih berkuat kuasa dalam tempoh masa endemik.

Dron juga akan digunakan untuk memberi nasihat kepada orang ramai yang hadir di bazar berkenaan untuk mematuhi penjarakan fizikal.

Malaysia sedang dalam fasa peralihan kepada endemik yang bermula pada 1 April. Dengan peralihan itu, banyak prosedur operasi standard telah dibatalkan, namun kewajipan memakai pelitup muka masih kekal. – 21 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen