Kami mahu bebas, kata budak basikal lajak


Elill Easwaran

Tekanan akibat masalah keluarga antara sebab mengapa ramai kanak-kanak dan remaja terlibat dalam aktiviti menunggang basikal lajak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2022.

KEPUASAN, kebebasan serta menghilangkan tekanan akibat masalah keluarga antara sebab mengapa ramai kanak-kanak dan remaja terlibat dalam aktiviti menunggang basikal lajak.

Mereka yang ditemu bual The Malaysian Insight juga berkata meskipun berbahaya setidak-tidaknya basikal lajak menjauhkan mereka daripada jenayah seperti dadah.

Rafiq, 13, berkata beliau terlibat dengan aktiviti basikal lajak kerana ia memberi kebebasan.

“Mak dan ayah saya selalu bertengkar di rumah, jadi saya rasa bebas setiap kali berbasikal dengan kawan-kawan.

“Tunggang basikal dengan kawan-kawan buatkan saya lupa semua masalah di rumah,” katanya.

Tambah Rafiq, meskipun tahu menunggang basikal lajak satu aktiviti berbahaya, beliau lebih sanggup mengambil risiko daripada duduk di rumah ketika ibu bapanya bertengkar.

Seorang lagi remaja, yang hanya mahu dikenali sebagai Haiqal, 13, berkata setiap hari beliau berasa teruja untuk menunggang basikal dengan rakan-rakannya.

“Mak dan ayah kami selalu tak ada di rumah sebab bekerja. Kami pun ada banyak masa lapang, tak tahu nak buat apa, jadi kami tunggang basikal lah,” katanya.

Haiqal berkata beliau sudah lama teringin untuk memiliki konsol permainan video tetapi ibu bapanya tidak mampu untuk membeli.

Manakala Danial, 15, berkata menunggang basikal lajak adalah aktiviti yang paling selamat bagi remaja sepertinya yang tinggal dalam persekitaran yang terdedah kepada jenayah.

“Kalau tinggal di flat kos rendah memang terdedah kepada dadah. Jadi, untuk mengelakkannya lebih baik saya berbasikal.

“Saya tak mahu jadi seperti arwah ayah saya dulu menagih dadah.

“Mak bekerja syif malam di kilang. Oleh sebab berseorangan di rumah saya pun ikut kawan-kawan tunggang basikal,” ujarnya.

Isu basikal lajak hangat diperkatakan selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru minggu lepas menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas seorang kerani,  Sam Ke Ting, kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak lima tahun lalu.

Kejadian berlaku pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Sam, 27, turut hilang kelayakan memandu selama tiga tahun, berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.

Mahkamah Rayuan pada Isnin bagaimanapun membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas Sam sementara menunggu untuk mendengar rayuannya terhadap sabitan dan hukuman.

Mengulas isu tersebut, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Lee Lam Thye dalam satu kenyataan minggu lalu berkata ibu bapa yang didapati cuai dalam memantau keselamatan anak-anak bawah jagaan mereka wajar dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Lam Thye berkata, secara normalnya, kanak-kanak sepatutnya berada bawah pengawasan ibu bapa atau orang dewasa pada waktu malam hingga pagi.

Basikal lajak berbeza dengan basikal yang dijual di kedai kerana ia diubah suai dengan menanggalkan brek, merendahkan tempat duduk dan pemegang yang lebih pendek, yang membolehkan penunggangnya meluncur laju di atas jalan raya terutama ketika menuruni bukit.

Pemilik kedai membaiki basikal, Akmal Asfar Mutalib, berkata remaja perlu diberi didikan bagaimana untuk berbasikal dengan cara yang lebih selamat.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 April, 2022.

Ajar cara betul tunggang basikal

Pemilik kedai membaiki basikal, Akmal Asfar Mutalib, berkata premisnya di Bangsar, Kuala Lumpur biasanya sesak dikunjungi hampir 60 remaja setiap hujung minggu, yang mencari alat ganti untuk mengubah suai basikal lajak mereka.

Akmal memberitahu The Malaysian Insight, walaupun membantah hobi berbahaya ini, remaja menunggang basikal lajak ini perlu diberi dididik untuk menyalurkan bakat mereka dalam persekitaran dan cara yang betul.

“Kerajaan dan masyarakat perlu sedar remaja ini minat berbasikal, jadi kita perlu beri mereka didikan bagaimana untuk berbasikal dengan cara yang lebih selamat.” – 23 April, 2022.     

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen