Tindakan timbalan menteri dedah Vasanthapiriya pernah cuba bunuh diri diselar


Looi Sue-Chern

Bapa M Vasanthapiriya, Muniandy Ratnam (dua kanan) menerima kunjungan ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Hospital Seberang Jaya pada 29 Januari lalu. Ketika pertemuan itu Lim turut menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Muniandy. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2018.

KERAJAAN Pulau Pinang hari ini mengkritik Timbalan Menteri Pendidikan P Kalamanathan yang mendedahkan maklumat peribadi M Vasanthapiriya, pelajar yang baru-baru ini cuba membunuh diri selepas dituduh mencuri iPhone gurunya.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata perbuatan Kalamanathan yang mendedahkan kepada media bahawa Vasanthapiriya pernah mengelar pergelangan tangannya dua tahun lalu telah menambah kesedihan keluarga pelajar itu.

Beliau berkata, keluarga Vasanthapiriya menafikan tuduhan terbabit kerana mereka lebih mengenali remaja berusia 14 tahun itu.

“Sebagai bapa, kami berasa marah atas pendedahan itu. Ia kejam dan tidak bertanggungjawab. Keluarga itu sedang melalui saat-saat sukar dan pendedahan ini menyebabkan mereka bertambah sedih.

“Kalau betul sekalipun, awak tak boleh sebut, apatah lagi sesuatu yang menurut keluarga itu tak benar.

“Mereka (pihak berkuasa) mesti ada perasaan belas kasihan, bukan cuba cari kesalahan atau salahkan mangsa, yang masih kecil.

“Kami minta timbalan menteri (Kalamanathan) dapatkan kaunseling, belajar bagaimana untuk tangani tragedi seperti ini,” kata Lim pada sidang media hari ini.

Vasanthapiriya, pelajar SMK Methodist Nibong Tebal, telah dituduh mencuri telefon iPhone gurunya pada 24 Januari. Bagaimanapun, dia menafikan tuduhan itu.

Dilaporkan, gurunya itu membawanya pulang ke rumah selepas waktu sekolah pada hari yang sama untuk bersemuka dengan keluarganya.

Dia ditemui oleh keluarganya tergantung dengan selendang yang diikat pada paip. Pelajar itu koma selama seminggu sebelum meninggal dunia pada 1 Februari.

Ahad lalu, The Sun yang memetik Kalamanathan melaporkan Vasanthapiriya mengelar pergelangan tangannya pada 2016.

Menurut akhbar itu, wujud laporan kaunselor yang meminta keluarga Vasanthapiriya mendapatkan bantuan perubatan bagi menangani masalah itu.

Laporan itu mempunyai tandatangan seorang ahli keluarganya dan dua guru, kata laporan itu lagi.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan mengesahkan kewujudan laporan itu mengatakan keluarga mangsa tidak mendapatkan rawatan seperti mana dicadang, beliau turut menambah yang laporan kaunselor itu sudah dihantar kepada polis untuk membantu siasatan.

Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy yang mengenali bapa Vasantahpiriya, Muniandy Ratnam, berkata Kalamanathan perlu meminta maaf dari keluarga itu.

Malah, beliau mempersoalkan tindakan timbalan menteri terbabit membuat kenyataan kepada media.

“Tindakan yang tidak boleh diterima dari seorang timbalan menteri yang sepatutnya bersimpati,” katanya.

Jelasnya lagi, hal ini lebih baik jika disiasat oleh polis dan jabatan pendidikan.

Kes ini telah menjadi sangat sensitif kerana orang ramai, terutamanya di media sosial menyalahkan guru pelajar itu.

Turut dilaporkan guru tersebut kini ditugaskan di Jabatan Pendidikan Daerah Seberang Prai dan telah menerima ugutan bunuh.

Ahad lalu, New Straits Times yang memetik sumber polis melaporkan rakaman CCTV sekolah menunjukkan Vasanthapiriya mencuri iPhone gurunya. – 13 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen