Penjelasan tentang RUU Anti Lompat Parti


Raevathi Supramaniam

Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang anti lompat parti sepatutnya dibentangkan di Parlimen minggu lepas tetapi ditangguhkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2022.

PINDAAN Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang anti lompat parti sepatutnya dibentangkan di Parlimen minggu lepas namun ia ditangguhkan bagi membolehkan proses rundingan dengan jawatankuasa pilihan khas Parlimen.

Pembentangan rang undang-undang (RUU) itu adalah sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik antara Putrajaya dan Pakatan Harapan (PH), yang ditandatangani pada 13 September.

Pada 2020 saja, Malaysia menyaksikan keruntuhan dan penggantian tujuh kerajaan persekutuan dan negeri yang semuanya disebabkan ahli Parlimen yang melompat parti atau bergabung dengan parti lain.

Selepas PH digulingkan oleh Langkah Sheraton dan digantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2020, kerajaan bertukar tangan di Johor, Melaka, Perak (dua kali) dan Kedah tanpa melalui pilihan raya.

Di Sabah, pembelotan 13 Adun menjatuhkan kerajaan negeri yang mempunyai majoriti dua pertiga, mencetuskan pilihan raya negeri.

Di peringkat persekutuan, kerajaan PN yang menggantikan PH dijatuhkan pula dengan kerajaan persekutuan pimpinan Umno pada September tahun lepas.

Apakah cadangan pindaan perkara 10?

Putrajaya mencadangkan untuk menambah fasal 3(A) baharu bagi melanjutkan sekatan kebebasan berpersatuan kepada ahli parti politik.

Bagaimanapun, wakil rakyat dan masyarakat sivil menyorot pindaan itu kerana ia berpotensi menjejaskan kebebasan ahli Parlimen untuk berpersatuan kerana maksudnya yang kabur dan luas.

Klausa baharu tersebut bagaimanapun tidak menyebut tentang lompat parti. Pindaan perlembagaan itu hanya bertujuan untuk membolehkan RUU disusun bagi dapat berdiri sendiri yang lebih substantif untuk mengawal lompat parti.

Saintis politik Wong Chin Huat berkata lompat parti meliputi pelbagai tindakan termasuk peletakan jawatan secara sukarela wakil rakyat daripada parti, penyingkiran daripada parti, ingkar arahan parti dalam pengundian perundangan, penggabungan parti, pembatalan pendaftaran parti dan, bagi wakil rakyat bebas atau tanpa parti, menyertai sebuah parti.

Wong berkata undang-undang sedemikian, apabila ia berkuat kuasa, tidak akan menghentikan lompat parti. Sebaliknya ia hanya secara automatik akan mengosongkan kerusi pencalonan parti yang membawa kepada pilihan raya kecil.

Semata-mata meminda perkara 10, tanpa definisi yang betul untuk lompat parti juga berpotensi membuka pintu kepada peruntukan untuk dicabar di mahkamah nanti.

Perkara 48 yang menetapkan tujuh syarat di mana ahli Parlimen boleh kehilangan kerusi mereka juga perlu dipinda bersama perkara 10 agar peruntukan itu mengikut Perlembagaan.

Perkara 48 menyebut senarai lengkap, menetapkan seseorang ahli Parlimen boleh hilang kerusi mereka jika tidak sempurna akal, bankrap, pegang sesuatu jawatan berpendapatan, gagal lapor penyata pilihan raya, disabitkan kesalahan dan didenda melebihi RM2,000 atau dipenjarakan lebih daripada satu tahun, memegang dua kerakyatan atau membuat kesalahan pilihan raya.

Lompat parti perlu ditambah pada perkara 48 untuk dibaca bersama perkara 10.

Selain itu, seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang menyatakan individu dipecat sesuatu pihak tidak boleh mencabar keputusan di mahkamah juga perlu diteliti. – 18 April, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen