Kenapa tiada tuduhan rasuah terhadap ahli Parlimen lompat parti, soal Guan Eng


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mahu SPRM menjelaskan mengapa tiada sebarang tindakan rasuah terhadap ahli Parlimen yang melompat parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2022.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia perlu menjelaskan mengapa tiada sebarang tindakan rasuah terhadap ahli Parlimen yang melompat parti, kata Lim Guan Eng hari ini.

Merujuk kepada lima, kes Setiausaha Agung DAP itu berkata Ketua SPRM Azam Baki tidak memberitahu perkara sebenar mengenai siasatannya terhadap ahli politik yang ditawarkan wang untuk menukar parti.

“Azam menegaskan SPRM tidak dapat mencari bukti konklusif bahawa rasuah sudah dibayar.

“Jika begitu mengapa saya masih didakwa kerana rasuah walaupun tiada ‘wang rasuah’ ditemui dalam simpanan saya, dalam akaun bank peribadi saya atau dalam bentuk wang tunai mahupun sebarang rakaman audio permintaan wang,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bayan dan bekas ketua menteri Pulau pinang itu kini dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya dalam kerajaan negeri untuk meminta potongan 10% keuntungan daripada projek terowong dasar laut dan menerima RM3.3 juta dalam bentuk sogok.

Wang tunai bukan satu-satunya bentuk rasuah tetapi pelantikan jawatan dan jawatan kerajaan dalam syarikat berkaitan kerajaan juga merupakan rasuah, tambah Lim.

“Kenapa ahli politik yang melompat daripada pembangkang kepada kerajaan tidak didakwa sedangkan ia jelas untuk kepentingan jawatan kerajaan?,” soal Lim. – 10 Februari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen