Berhenti salahkan Dr Mahathir, kata Mukhriz kepada Nik Nazmi


Mukhriz Mahathir mengecam kenyataan Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyalahkan Dr Mahathir kerana menggalakkan budaya lompat parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2021.

KEMASUKAN ahli Parlimen Umno ke Bersatu dipersetujui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Mukhriz Mahathir ketika beliau membantah kenyataan Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyalahkan Dr Mahathir Mohamad kerana menggalakkan lompat parti.

“Walaupun saya telah menyuarakan bantahan berkenaan kemasukan beberapa ahli Parlimen Umno ke dalam Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menggunakan kuasanya sebagai presiden untuk menolak cadangan saya kepada Majlis Presiden Bersatu,” kata presiden Pejuang dalam satu kenyataan hari ini.

“PKR tidak patut berpura-pura, kononnya pemimpin-pemimpinnya ikhlas dan budiman semasa Pakatan Harapan (PH) berkuasa. YB Datuk Che Abdullah Mat Nawi daripada PAS mendedahkan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah cuba mendapatkan sokongan PAS untuk undi tidak percaya terhadap Tun Mahathir,” kata ahli Parlimen Jerlun itu.

Mukhriz mengecam ahli majlis tertinggi PKR Nik Nazmi yang menyalahkan Dr Mahathir kerana menggalakkan budaya lompat parti selepas pilihan raya 2018.

Selepas pilihan raya pada 2018, 15 ahli Parlimen Umno berpaling tadah kepada Bersatu, menambah bilangan parti baharu itu. 

Dengan bantuan 10 ahli Parlimen PKR, Bersatu yang menjadi besar dan kemudiannya keluar daripada kerajaan PH sehingga menyebabkan kerajaan 22 bulan itu jatuh.

Sebilangan besar bekas ahli Parlimen PKR, yang dipimpin oleh Mohamed Azmin Ali, sejak itu bergabung dengan Bersatu.

Tetapi walaupun sudah setahun sejak kejatuhan PH, pemimpin PKR seperti Nik Nazmi terus menyalahkan Dr Mahathir atas kejadian itu.

“Nik Nazmi, berlaku adillah; anda menuduh Tun Mahathir membuat keputusan secara unilateral tanpa mengendahkan kerangka PH dan mengecam Buku Harapan tetapi pada masa yang sama, anda mengatakan PH mencapai ‘banyak kejayaan dalam waktu yang singkat, dalam tempoh 22 bulan’,” soalnya.

“Sepatutnya pelantikan menteri-menteri yang melibatkan pemimpin-pemimpin dari puak-puak yang bertelingkah dalam PKR diselesaikan secara dalaman. Kenapa Tun Mahathir yang dipersalahkan, seolah-olah beliau memihak kepada kumpulan tertentu apabila melantik pemimpin-pemimpin kanan PKR sebagai anggota Kabinet?” katanya merujuk kepada janji kabinet PH yang tidak mendapat persetujuan kepimpinan PKR.

Mukhriz berkata Nik Nazmi perlu berhenti mencari kambing hitam demi untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri seterusnya. – 24 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen