Perikatan belajar dengan Dr Mahathir beli ahli Parlimen, kata Nik Nazmi


Ravin Palanisamy Mohd Farhan Darwis

Ketua setiausaha pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Dr Mahathir Mohamad guna kaedah sama untuk ahli Parlimen Umno sertai Bersatu ketika PH menguasai Putrajaya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2021.

BUDAYA membeli ahli Parlimen supaya melompat parti yang diamalkan Perikatan Nasional (PN) dipelajari daripada bekas Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad, dakwa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ketua setiausaha pengelola PKR itu berkata, bekas perdana menteri itu menggunakan kaedah sama agar ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu ketika Pakatan Harapan menguasai Putrajaya.

“Kaedahnya sama, saya rasa (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin ada satu almari buku panduan Bersatu bagaimana sesuatu perkara dilakukan,” kata Nik Nazmi dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

Pemimpin PKR mendakwa ahli Parlimen berkenan ditawarkan habuan kewangan untuk berpaling tadah dan melompat parti.

Polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga didakwa digunakan untuk menekan wakil rakyat terbabit, yang dinafikan agensi itu.

Ia ekoran tindakan tiga lagi ahli Parlimen PKR yang meninggalkan parti untuk menjadi ahli Parlimen Bebas dan menyokong Muhyiddin serta PN.

Mereka adalah Xavier Jayakumar (Kuala Langat), Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau).

Mereka membentuk senarai 15 wakil rakyat PKR yang meninggalkan parti sejak Februari tahun lalu yang menyaksikan kejatuhan PH.

Nik Nazmi menjelaskan ia dapat dipelajari daripada tindakan Dr Mahathir menarik ahli Umno ke dalam Bersatu untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Ini kerana Bersatu yang merupakan parti Dr Mahathir pada masa itu hanya menang 13 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Dr Mahathir Mohamad dikatakan menarik ahli Umno ke dalam Bersatu untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2021.

Bersatu menjadi parti utama dalam pentadbiran Pakatan harapan, walau dengan jumlah ahli Parlimen yang kecil, sebelum 13 lagi ahli Parlimen Umno menyertai parti itu..

“Dr Mahathir tarik ahli Parlimen Umno untuk kukuhkan kedudukan sebagai perdana menteri.

“Saya secara terbuka suarakan bantahan saya. Waktu itu tak perlu (ahli Parlimen lompat parti) kerana kita ada majoriti di Parlimen tetapi saya dengar ada yang diugut menggunakan SPRM.

Seterusnya, ahli Parlimen yang beralih arah dari Umno juga tidak setia kepada Dr Mahathir malah mereka memilih bersama Muhyiddin membentuk kerajaan PN, jelas Nik Nazmi.

Dr Mahathir kemudiannya menubuhkan Pejuang pada Ogos 2020 bersama bekas ahli Parlimen Bersatu yang setia kepadanya.

Nik Nazmi berkata, Umno juga berhadapan perkara sama hari ini walaupun mempunyai bilangam ahli Parlimen paling ramai dalam kerajaan.

Ia membolehkan Bersatu dengan jumlah kerusi paling kecil menguasai kerajaan dan mengawal keputusan.

“Umno juga berhadapan perkara sama di bawah Muhyiddin. Bersatu parti kecil mereka jadi perdana menteri, kawal segalanya dan melantik menteri tanpa merujuk kepada parti.

“PKR juga melaluinya. Sebagai menteri bawah PH mereka susah datang mesyuarat kerana pada mereka jawatan itu bukan daripada parti tapi Dr Mahathir.

“Model sama digunakan hari ini,” kata Nik Nazmi.

Pada Selasa lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa pemimpin kerajaan berhenti menekan ahli Parlimen pembangkang berpaling tadah daripada parti mereka.

Dakwaan bahawa PN menggunakan rasuah, ugutan dan habuan untuk memujuk ahli Parlimen PKR berpaling tadah bagaimanapun dinafikan bekas wakil rakyat tersebut yang menyertai Bersatu. – 19 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen