Polis sahkan tahanan lokap Kajang mati mengejut


KEMATIAN lelaki ketika dalam tahanan reman di lokap Balai Polis Kajang pada Rabu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, kata polis.

Pengarah Jabatan Integriti Bukit Aman Azri Ahmad dalam satu kenyataan berkata hasil bedah siasat Hospital Kajang mendapati lelaki berusia 45 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Bagaimanapun, punca kematian masih belum diketahui dan sampel telah diambil untuk analisis dan pemeriksaan makmal secara lanjut,” kata Azri, menambah lelaki berkenaan juga negatif Covid-19.

Ini merupakan kematian ke-15 dalam tahanan dalam tahun ini. 

Semalam, Azri berkata tahanan terbabit mengalami sawan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Lelaki itu ditahan atas tuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dia ditahan di balai polis Kajang sebelum dihantar ke balai polis Beranang untuk direman.

Lima hari lalu, seorang tahanan berusia 42 tahun meninggal dunia di Pahang, kes ke-14 kematian dalam tahanan. – 15 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen