KUMPULAN Touch ‘n Go mempertahan kadar bunga hingga 36% kepada peminjam untuk produk hutang barunya yang dibangunkan bersama CIMB Bank Berhad.
Laporan Malaysiakini menyebut, syarikat tersebut berkata kadar bunga antara 8% hingga 36% bagi produk hutang peribadi GOPinjam itu setanding dengan produk pinjaman peribadi lain.
“Kadar faedah untuk pinjaman peribadi digital itu adalah dalam kadar 8% sehingga 36% maksimum.
“Kami menjangkakan kadar purata di kalangan peminjam kami setanding dengan produk pinjaman peribadi lain,” kata syarikat itu dalam kenyataan dipetik portal berkenaan.
Ia menyatakan, kadar bunga hutang berkenaan dikenakan mengikut profil kredit peminjam, jumlah pinjaman dan tempoh pinjaman.
Pinjaman itu juga tidak dikenakan yuran duti setem atau yuran pemprosesan, kata Touch ‘n Go yang turut menegaskan tawaran itu mengikut garis panduan Bank Negara Malaysia.
Produk pinjaman mikro yang dilancarkan pada 1 April itu menawarkan pinjaman peribadi RM100 hingga RM10,000 dengan tempoh bayaran antara satu minggu hingga satu tahun.
Peminjam dengan pendapatan bulanan minimum RM800 layak memohon produk berkenaan yang disasarkan kepada 16 juta pengguna berdaftar Touch ‘n Go.
Kadar sehingga 36% itu amat tinggi berbanding kadar 5% hingga 15% yang dikenakan bank tempatan bagi produk pinjaman peribadi dan dipersoalkan persatuan pengguna.
Antaranya, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yang berpendapat tawaran tersebut tidak menyediakan perlindungan yang wajar kepada pengguna.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pula bimbang produk tersebut menggalakkan pengguna bergantung kepada hutang. – 7 April, 2022.
Komen