Lebih RM10 juta dibelanja pada hari pertama skim E-Tunai Rakyat, kata Guan Eng


Ragananthini Vethasalam

380,000 permohonan untuk dapatkan RM30 percuma dibuat pada 10 malam tadi, 320,000 sudah diluluskan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 Januari, 2020.

LEBIH RM10 juta dibelanjakan oleh 320,000 rakyat Malaysia pada hari pertama insentif E-Tunai Rakyat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Tiga platform- Boost, Grab dan Touch N Go- yang melaksanakan inisiatif itu, menyaksikan hampir 380,000 permohonan setakat jam 10 malam tadi, dengan 320,000 sudah diluluskan.

“Dalam masa hanya sehari, lebih RM10 juta sudah dibelanjakan,” katanya pada sidang media di Pasar Pagi SS2, hari ini.

Katanya lagi, RM30 untuk individu yang layak adalah inisiatif kerajaan untuk menggalakkan rakyat berbelanja menggunakan perkhidmatan tanpa tunai yang boleh menyuntik hampir RM1 bilion ke dalam ekonomi negara.

Putrajaya memperuntukkan RM450 juta untuk inisiatif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2020 itu.

Kerajaan akan memperuntukan RM30 e-tunai, sementara pengendali e-dompet akan menambah inisiatif itu.

Menyentuh kebimbangan kebocoran dan privasi data, Lim memberi jaminan data pemohon tidak akan dikongsi kepada pihak ketiga dan ia dilindungi Akta Perlindungan Data Peribadi 2012.

“Kami faham rakyat bimbang yang corak perbelanjaan mereka akan disalah guna pihak ketig tetapi kita bukan berniaga jadi kami tak benarkan mana-mana organisasi untuk membuat untung daripadanya,” katanya lagi, menambah yang kerajaan bukan organisasi komersial.

Lim turut menjelaskan masalah teknikal dihadapi pemohon semalam adalah kerana jumlah permohonan tinggi, tetapi ia sudah diselesaikan.

Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang pelaksanaan inisiatif itu lemah.

Inisiatif itu diuruskan Khazanah Nasional Bhd melibatkan tiga proses penyaringan.

Proses penyaringan itu termasuklah semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta proses semak silang pendaftaran dengan ketiga-tiga platform terlibat.

Lim hari ini mempromosi inisiatif itu kepada peniaga pasar pagi hari ini. Kempen itu akan diperluas ke seluruh negara tidak lama lagi.

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan kurang RM100,000.  – 16 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen