RM18.8 juta dibelanja pada hari ke-2 E-Tunai Rakyat


Ragananthini Vethasalam

Inisiatif yang masuk hari kedua itu semalam menerima 784,000 permohonan, daripada jumlah itu 672,000 sudah diluluskan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Januari, 2020.

RM18.8 juta dibelanjakan rakyat Malaysia melalui inisiatif E-Tunai Rakyat setakat jam 10 malam tadi, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Inisiatif yang masuk hari kedua itu semalam menerima 784,000 permohonan, daripada jumlah itu 672,000 sudah diluluskan.

“Maklum balas sangat menggalakkan,” kata Lim pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau turut mengulangi jaminan bahawa data pemohon dilindungi Putrajaya dan kerajaan bukanlah organisasi komersial.

Semalam, Lim mendedahkan lebih RM10 juta dibelanjakan oleh 320,000 rakyat Malaysia pada hari pertama inisiatif itu dilancarkan menerusi tiga platform rasmi- Boost, Grab dan Touch ‘N’ Go.

Putrajaya memperuntukkan RM450 juta untuk inisiatif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2020 itu.

Di bawah inisiatif itu, individu yang layak akan menerima e-tunai sebanyak RM30 untuk menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai yang aka menyuntik hampir RM1 bilion ke dalam ekonomi negara.

Ketiga-tiga penyedia perkhidmatan e-dompet yang dilantik secara rasmi itu juga akan menawarkan inisiatif sendiri sebagai tambahan RM30 yang diberikan kerajaan.

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan kurang RM100,000.

Ia bermula pada 15 Januari 2020 dan akan tamat pada 14 Mac 2020. – 17 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen