Polis tidak tutup kes siasatan pengarah PHEB diserang


POLIS Pulau Pinang tidak pernah menutup siasatan berhubung kejadian kes cubaan membunuh Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) M Ramachandran, yang berlaku tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan kes itu masih dijalankan dan pihaknya tidak pernah menutup kertas siasatan seperti didakwa pihak berkenaan.

“Siasatan kes itu masih lagi aktif, kes tak pernah ditutup… saya tiada komen (berhubung dakwaan ada cubaan kes itu ditutup) itu kena tanya pihak yang mendakwa,” katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar semalam Pengerusi PHEB P Ramasamy dilaporkan berkata, walaupun insiden itu sudah lapan bulan berlalu, namun sehingga kini tiada sebarang tangkapan tetap atau pendakwaan suspek dilakukan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dilaporkan berkata, terdapat khabar angin kononnya ada pihak tertentu cuba memberi rasuah dengan jumlah wang yang tinggi, supaya kes itu disenyapkan dan ditutup tanpa sebarang tangkapan.

Dalam kejadian 24 Julai tahun lalu, media melaporkan Ramachandran mengalami kecederaan parah selepas ditetak sekumpulan individu di hadapan kediamannya di Taman Alma, Machang Bubok kira-kira jam 7 malam.

Ramachandran, 70, cedera di bahagian leher, paha, belakang kepala serta badan akibat diserang dengan senjata tajam dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta. – Bernama, 1 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen