PAC perlu teliti kontrak 5G DNB-Ericsson, kata Fahmi Fadzil


Raevathi Supramaniam

Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil gesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara meneliti dan menyiasat kontrak rangkaian 5G bernilai RM11 bilion yang dianugerahkan kepada Ericsson. – Gambar EPA, 28 Mac, 2022.

JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu meneliti kontrak rangkaian 5G bernilai RM11 bilion yang diberikan kepada Ericsson, kata Fahmi Fadzil hari ini.

Dalam surat kepada PAC minggu lepas, ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata mungkin ada percanggahan dalam kontrak dengan gergasi telekomunikasi Sweden, mencadangkan siasatan dibuat.

“Saya difahamkan ada kemungkinan wujudnya perbezaan di antara terma-terma kontrak pada peringkat bidaan berbanding terma-terma di dalam kontrak akhir yang ditandatangani di antara DNB (Digital Nasional Berhad) dan Ericsson.

“Sekiranya benar, isu ini perlu diketahui Dewan Rakyat kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan wang ringgit rakyat.

“Oleh yang demikian, saya memohon PAC untuk segera menyiasat terma-terma bidaan berbanding terma-terma kontrak sebenar, dengan mendapatkan taklimat penuh atau memulakan prosiding dengan memanggil semua pihak berkaitan segera mungkin,” kata Fahmi dalam suratnya.

Pada Julai tahun lepas, DNB menandatangani kontrak dengan Ericsson untuk mereka bentuk dan membina infrastruktur 5G dengan harga RM11 bilion.

Setakat Januari, DNB telah membelanjakan RM544 juta kos untuk infrastruktur rangkaian, perkakasan dan modal.

Ini dibiayai oleh RM1.7 bilion yang diperoleh dalam pinjaman daripada institusi kewangan.

Pelancaran 5G akan dilaksanakan melalui rangkaian borong tunggal (SWN) di mana kerajaan akan membenarkan syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam DNB.

Fahmi sebelum ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kontrak antara DNB dan Ericsson atas alasan syarikat telekomunikasi itu didakwa melanggar pakatan dan mempunyai isu pematuhan dalam perjanjian di Iraq pada 2019.Ericsson didakwa oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat kerana melanggar syarat perjanjian 2019 dengan pendakwa raya kerana gagal mendedahkan salah laku dan kegagalan pematuhan dengan betul di Iraq.

SPRM bagaimanapun berkata pihaknya tiada syak wasangka munasabah mengenai cara ia kontrak itu dianugerahkan.

Sebagai maklum balas kepada Fahmi, Ericsson dalam satu kenyataan berkata ia memenangi kontrak itu secara merit selepas mengikut piawaian tadbir urus yang paling ketat seperti yang dinasihatkan oleh EY Consulting. – 28 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen