PUTRAJAYA telah memutuskan untuk melancarkan rangkaian 5G negara melalui Rangkaian Borong Tunggal (SWN), kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini.
Beliau dalam masa sama berkata kerajaan akan membenarkan syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat yang dibina dengan tujuan khas untuk memacu pembangunan infrastruktur 5G di Malaysia.
“Seperti yang diputuskan Kabinet, kerajaan akan menawarkan sehingga 70 peratus ekuiti DNB kepada Operator Rangkaian Mudah Alih yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong.
“Dengan struktur pemilikan baharu, kerajaan akan memegang 30 peratus ekuiti,” kata Tengku Zafrul dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata model SWN dipilih selepas kerajaan mempertimbangkan pelbagai model untuk pengedaran sambungan Internet mudah alih berkelajuan tinggi, termasuk yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi.
Sebelum ini, syarikat-syarikat telekomunikasi bimbang model SWN 5G yang dikendalikan kerajaan akan menyebabkan monopoli lebih mahal berbanding menggunakan 5G sendiri.
Bagaimanapun, DBN berkata ia akan mengenakan bayaran yang lebih rendah kepada pengendali untuk mengakses rangkaian berbanding kos yang ditanggung untuk 4G.

Tengku Zafrul berkata ini akan menjadi penyelesaian terbaik untuk mempercepatkan keperluan rangkaian 5G kerana kerajaan berusaha merapatkan jurang digital dan merealisasikan inisiatif pendigitalan nasional.
“Selain itu, pelaksanaan model SWN ini akan memastikan tiada implikasi kewangan tambahan terhadap kontrak yang dimeterai kerajaan dengan Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd, pembekal perkakasan rangkaian yang dilantik, yang telah merangka pelan pelaksanaan dengan mengoptimumkan kerja kontrak dan perkhidmatan untuk vendor tempatan, dengan anggaran 61 peratus daripadanya mampu memberi manfaat kepada Bumiputera,” katanya.
Tengku Zafrul berkata dengan menggunakan model SWN, ia akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.
“Kerajaan tegas dalam keputusannya untuk mengekalkan model SWN dan ia juga melambangkan model perkongsian awam-swasta Malaysia, serta ekosistem pembiayaan sektor swasta yang kukuh, yang secara keseluruhannya akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” katanya.
Tambah menteri kewangan, DNB akan dikawal selia oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, manakala Kementerian Kewangan akan memantau DNB dari segi tadbir urus sebagai pemegang saham.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, yang turut hadir hari ini, berkata rakyat di seluruh negara seharusnya dapat menikmati akses kepada perkhidmatan 5G berkualiti tinggi secara adil, saksama dan pada harga yang berpatutan.
“Ini bagi membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia selepas pandemik buat tahun-tahun mendatang.
“Model SWN akan membantu merapatkan jurang digital bandar dan luar bandar bagi membolehkan semua rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan 5G berkualiti tinggi,” katanya. – 16 Mac, 2022.
Komen