Program sedia ada sudah memadai untuk pelajar asing, kata Nie Ching


Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata cadangan itu menimbulkan lebih banyak persoalan dan dilihat kurang jelas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2022.

PROGRAM sedia ada bagi subjek umum yang diajar dalam Bahasa Malaysia adalah memadai untuk pelajar antarabangsa dan tidak perlu lagi pelajaran bahasa itu untuk mereka, kata bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching.

Beliau berkata ini kerana pelajar antarabangsa sudah pun diwajibkan mengambil mata pelajaran komunikasi dalam Bahasa Malaysia sebagai sebahagian daripada mata pelajaran pengajian mereka.

Teo merujuk kepada cadangan kerajaan mewajibkan pelajar antarabangsa mempelajari Bahasa Malaysia.

“Cadangan sebegini menimbulkan lebih banyak persoalan dan dilihat kurang jelas.

“Mereka (pelajar) juga berpeluang mempelajari Pengajian Tamadun Islam dan Asia (Titas).

“Program itu telah dilaksanakan sejak 2014 oleh setiap universiti tempatan yang mengambil pelajar antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pelajar asing akan diwajibkan mempelajari BM apabila mereka mendaftar di universiti di Malaysia.

Beliau berkata, Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad bersetuju supaya subjek itu diwajibkan kepada semua pelajar asing di negara ini.

Teo berkata, ahli akademik dan pelajar antarabangsa tertanya-tanya mengapa perdana menteri menuntut sesuatu yang sudah ada dalam mata pelajaran pengajian tinggi.

“Sebagai contoh, Zaharom Naim, seorang ahli akademik dari Universiti Nottingham Malaysia menyifatkan cadangan sebegitu berunsurkan politik, terutama apabila dibuat semasa perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu berkata, kerajaan perlu menyemak semula sukatan pelajaran sekiranya terdapat sebarang perubahan baharu yang ingin dilakukan.

“Saya harap perdana menteri tidak hanya bercakap di pentas parti (perhimpunan agung Umno) semata-mata untuk mendapatkan sokongan ahli tetapi membuang masa dan mengelirukan rakyat tanpa menyemak apa yang telah dilaksanakan di peringkat kementerian.” – 26 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen