SEORANG bekas pekerja Google memfailkan saman semalam menuduh gergasi teknologi itu mendiskriminasi pekerja kulit hitam.
April Curley dalam saman itu berkata beliau diperlekeh sebelum dipecat kerana mencadangkan pembaharuan untuk mengatasi “halangan dan pilih kasih” dikenakan ke atas pekerja kulit hitam di Google.
“Pekerja kulit hitam Google berdepan persekitaran kerja teruk dan kesan buruk jika mereka berani mencabar atau melawan amalan diskriminasi syarikat,” dakwa saman itu.
Google menggaji pekerja berkulit hitam dan meletakkan mereka di pekerjaan peringkat rendah dan menutup peluang kerjaya disebabkan warna kulit dan kaum mereka, kata saman itu lagi.
Google tidak membalas permintaan ulasan untuk tuduhan ini.
Curley digaji Google pada 2004 sebagai pakar program universiti di New York bagi berhubungan dengan pelajar berkulit hitam yang berpotensi diambil sebagai pekerja, kata saman itu.
“Beliau mendapati Google tidak tulus dalam peluang kepelbagaian pekerja dan hanya mahu memberikan imej baik bagi tujuan pemasaran,” kata saman lagi.
Curley dipecat Google pada akhir 2020, menurut saman.
“Walaupun Google mendakwa mereka mahu meningkatkan kepelbagaian pekerja, mereka sebenarnya tidak menghargai, memberi gaji rendah dan memberi layanan buruk kepada pekerja kulit hitam mereka, menyebabkan ramai yang berhenti,” kata peguam Curley, Ben Crump.
Saman kelas mewakili pekerja kulit hitam itu difailkan di Mahkamah San Jose, Lembah Silikon.
Peguam Curley memberikan statistik setakat hujung tahun lepas, hanya 4.4% pekerja Google adalah mereka yang berkulit hitam dan 3% berada di peringkat kerjaya pengurusan.
Mereka juga memberitahu mahkamah yang Jabatan Pekerjaan Saksama dan Perumahan California sedang menyiasat layanan Google kepada pekerja wanita kulit hitam. – AFP, 19 Mac, 2022.
Komen