SEPARUH daripada rakyat Malaysia menghadapi diskriminasi dalam pendidikan berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Sekolah Semua, sebuah gerakan yang dijalankan hasil inisiatif Architects of Diversity (AOD).
Daripada jumlah itu, 36% mendakwa mengalami diskriminasi lisan, diikuti dengan pengalaman gangguan atau buli (21%), dan ada yang dinafikan akses kepada peluang pendidikan kerana identiti (18%).
Lebih ramai golongan muda (18-30 tahun) dilaporkan mengalami diskriminasi (59%) dalam pendidikan berbanding golongan yang lebih berusia.
Kajian itu juga mendapati responden India direkodkan sebagai yang tertinggi mengalami diskriminasi lisan (54%) dan dinafikan akses kerana identiti (40%) berbanding kumpulan kaum lain.
Ini adalah hasil daripada kajian diskriminasi dalam pendidikan nasional yang dijalankan dari 1 hingga 10 September melibatkan 2,441 responden bertujuan untuk meneroka pengalaman masyarakat mengenai diskriminasi yang dialami semasa bersekolah di Malaysia.
Kumpulan ini memutuskan untuk memulakan kajian setelah anekdot pengalaman diskriminasi tersebar luas dalam wacana umum, namun tidak ada data yang dikumpulkan secara sistematik untuk menganggarkan sejauh mana diskriminasi dalam sistem pendidikan di Malaysia.
“Oleh kerana responden berusia 18 tahun ke atas, tinjauan ini bersifat retrospektif dan hasilnya harus dilihat sebagai batu loncatan untuk penyelidikan lebih lanjut mengenai diskriminasi dalam pendidikan Malaysia,” kata Pengasas Bersama AOD Malaysia Jason Wee.
Laporan teknikal dan data terbuka boleh dimuat turun di laman www.sekolahsemua.my/en/report.
Sekolah Semua juga meminta orang ramai yang mengalami diskriminasi dalam pendidikan untuk mengunjungi laman webnya di www.sekolahsemua.my/en/home/survey untuk melaporkan kes mereka. – 16 September, 2021.
Komen