Pasukan khas jalankan libat urus untuk RUU diskriminasi gender


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia melibatkan Kementerian Luar, Jakim dan pertubuhan bukan kerajaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2020.

PASUKAN khas bagi menggubal undang-undang menangani diskriminasi berasaskan gender berjaya mengadakan 16 libat urus dengan pelbagai pihak setakat ini, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu berkata, ia antara lain melibatkan Kementerian Luar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pasukan itu juga berjaya melibatkan ahli akademik serta pakar untuk merangka rang undang-undang tersebut yang dijangka dapat dibentangkan tahun ini, katanya kepada pemberita di Putrajaya.

“Special Project Team ini sudah ditubuhkan sejak Februari tahun lalu. Sesi ini akan diteruskan lagi dengan melibatkan lebih ramai pihak yang berkepentingan.

“Buat masa ini, kementerian sedang menumpukan kepada proses penggubalan rang undang-undang gangguan seksual akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau melancarkan Majlis Perasmian Hari Keselamatan Internet atau ‘Safer Internet Day’ (SID) 2020 – Edisi Malaysia dan Forum “Memupuk Fasih Digital Di Era Millenia”.

Beliau pada Disember lalu juga mengumumkan, kementeriannya akan menggubal Akta Gangguan Seksual dan wujudkan tribunal khas bagi menangani kes berkaitan. – 11 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen