Keluar simpanan KWSP bukan penyelesaian ekonomi rakyat


PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan kebenaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 bagi semua pencarum hari ini.

Selepas dua tahun, kerajaan pimpinan beliau sekarang dilihat telah gagal menyelesaikan masalah ekonomi walaupun Perintah Kawalan Pergerakan telah tamat dan diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan pada 7 Jun 2020.

Langkah kerajaan pimpinan perdana menteri ini merupakan suatu langkah yang terdesak selepas hanya tujuh bulan mengambil alih jawatan perdana menteri pada Ogos tahun lalu. 

Untuk rekod kerajaan sebelum ini pimpinan Muhyiddin Yassin telah membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu. 

Langkah ini dianggap wajar kerana keadaan ekonomi yang sangat mendesak apatah lagi PKP masih berjalan dan banyak sektor ekonomi belum dibuka sepenuhnya ketika itu. Ia amat berbeza pada tahun 2021 hingga sekarang.

Apabila pengumuman ini dibuat, transaksi sejumlah wang yang cukup besar akan berlaku yang pastinya mencecah pengeluaran berbilion ringgit dana awam dalam tempoh masa yang pendek. 

Adakah pihak KWSP telah bersedia dengan keadaan ini? 

Bagaimana pula KWSP dapat memastikan dividen yang disasarkan pada tahun ini dapat direalisasikan selepas pengumuman ini?

Pada Disember 2021, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata kerajaan tidak membenarkan pengeluaran wang dari KWSP untuk mengimbangi kebajikan serta untuk menjamin masa depan rakyat.

Namun hari ini, keadaan sebaliknya berlaku. 

Perdana menteri tidak sepatutnya melayan desakan dan ugutan sesetengah pihak dalam menyelesaikan isu ini kerana agensi seperti KWSP ditubuhkan dengan bermatlamatkan untuk melindungi simpanan para pencarum bagi jangka masa panjang demi kebaikan mereka – bukan untuk tujuan jangka pendek.

Permasalahan ekonomi rakyat adalah tanggungjawab kerajaan dengan menggunakan pendekatan dan mekanisme yang lebih bertanggungjawab.

Dalam Belanjawan 2022 yang diumumkan sebelum ini, segala peruntukan perlu segera dibelanjakan untuk keperluan rakyat baik untuk menjana aktiviti ekonomi, kebajikan, kesihatan dan pendidikan, bukan untuk pilihan raya seperti di Melaka dan Johor. 

Namun agak pelik selepas belanjawan diumumkan beberapa bulan lalu, hanya pada suku pertama tahun 2022, kerajaan pimpinan Perdana Menteri begitu terdesak hingga membuat keputusan membenarkan penggunaan dana KWSP untuk tujuan yang tidak jelas matlamatnya. 

Soalan yang perlu dijawab, bagaimana tahap perbelanjaan Belanjawan 2022 pada ketika ini? 

Adakah sudah habis kerana digunakan untuk dua pilihan raya yang tak sepatutnya berlaku?

Perlu dingatkan bahawa 7,591,053 ahli aktif yang menjadi pencarum di KWSP bukanlah jumlah yang kecil. Kumpulan ini akan terdedah dengan masa depan yang tidak menentu selepas ini. 

Ismail Sabri Yaakob harus lebih bertanggungjawab. – 16 Mac, 2022.

* Mahdzir bin Ibrahim, ahli Pejuang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen