Polis ke Singapura siasat kes suami Zeti, kumpul maklumat berkait 1MDB


Raevathi Supramaniam

PEGAWAI Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman akan ke Singapura pada akhir Mac bagi merekodkan kenyataan dan maklumat berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk siasatan membabitkan Tawfiq Ayman, kata Mohd Kamarudin Din.

Pengarah JSJK itu berkata Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura telah bersetuju untuk membenarkan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke republik itu pada 29 dan 30 Mac.

“PDRM komited dalam memastikan siasatan kes ini diselesaikan dengan segera secara telus dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak, pihak berkuasa di Singapura juga sudah memberikan kerjasama dengan berkongsi maklumat dan dokumen secara ‘on intelligence basis’ dengan pegawai penyiasat JSJK.

“PDRM ingin menyatakan apa jua kenyataan yang dibuat sebelum ini mengenai siasatan polis terhadap kes Tawfiq Ayman dan perjalanan pasukan penyiasat PDRM ke Singapura tidak bermaksud untuk menyembunyikan sebarang fakta atau mengelirukan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PDRM sebelum ini berkata ia sedang menunggu kebenaran dan bantuan Singapura untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas 1MDB, khususnya siasatan terhadap Tawfiq Ayman, suami bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.

Dalam jawapan kepada PDRM, polis republik itu berkata ia telah memudahkan semua permintaan, menambah Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura bersetuju dengan permintaan Bukit Aman pada 6 Disember untuk beberapa lawatan.

Menjawab kelewatan siasatan, Kamaruddin berkata ia disebabkan beberapa faktor termasuk penggantungan sementara Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara kedua-dua negara bermula 23 Disember tahun lalu hingga 20 Januari.

“Selain itu, pegawai penyiasat juga dikesan menjadi kontak rapat dan kemudiannya positif COVID-19 pada Februari lalu menyebabkan pegawai penyiasat tidak dapat memberi maklum balas berhubung tarikh pergerakan yang sesuai ke Singapura.

“Di samping itu, maklum balas juga belum diterima daripada saksi, yang juga warganegara Singapura mengenai kesediaan mereka untuk temu bual oleh pasukan penyiasat PDRM,” katanya.

Dilaporkan polis mula menyiasat Tawfiq pada Mac tahun lalu, selepas didapati beliau menerima dana 1MDB dalam akaun banknya di Singapura.

Polis Singapura sebelum ini berkata ia telah memaklumkan Bank Negara mengenai transaksi mencurigakan berjumlah RM66 juta kepada sebuah syarikat yang didakwa dimiliki oleh suami Zeti dan anak mereka daripada ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, pada 2015.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki baru-baru ini berkata agensi itu ditugaskan hanya untuk menghantar pulang wang yang didakwa diterima Tawfiq daripada 1MDB.

Tawfiq berkata beliau bekerjasama dengan SPRM dan polis berhubung perkara itu. – 16 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen