KETUA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini mendedahkan agensinya hanya ditugaskan untuk menghantar pulang wang yang didakwa diterima oleh Tawfiq Ayman daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Azam ditanya mengenai peranan SPRM dalam menyiasat Tawfiq, suami kepada bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz yang dikatakan menerima sejumlah wang 1MDB daripada ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho.
“Tugas kami bersama-sama polis adalah untuk mendapatkan semula wang dari Singapura. Itu tugas yang diberikan kepada kami (untuk menghantar pulang wang dari Singapura),” katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut Azam berkata siasatan polis terhadap Ayman masih diteruskan.
“Siasatan itu di bawah akta anti pengubahan wang haram dan saya percaya polis akan ke AGC sebaik sahaja selesai,” katanya.
Dilaporkan polis mula menyiasat Tawfiq pada Mac 2021 selepas beliau didapati menerima dana 1MDB dalam akaun bank Singapuranya.
Polis Singapura memaklumkan Bank Negara Malaysia mengenai transaksi mencurigakan berjumlah RM66 juta daripada Jho Low kepada sebuah syarikat yang didakwa dimiliki oleh suami dan anak Zeti pada 2015.
Zeti masih lagi gabenor BNM ketika itu.
Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura (CAD) berkongsi dokumen dengan Malaysia menunjukkan akaun UBS Bank sebuah syarikat bernama Iron Rhapsody menerima AS$16.2 juta daripada syarikat atau akaun yang berkaitan dengan Low.
CAD juga melaporkan dua lagi transaksi kepada Iron Rhapsody daripada Low yang pertama dianggarkan pada AS$567,000 pada 1 Jun 2009 dan yang kedua pada AS$1.25 juta pada 18 Disember 2009.
Tawfiq berkata beliau bekerjasama dengan SPRM dan polis berhubung perkara itu.
Tawfiq sebelum ini menafikan keterangan mahkamah yang mendakwa beliau menerima rasuah untuk memastikan AS$1 bilion dipindahkan dalam satu malam kepada usaha sama 1MDB-PetroSaudi dari Malaysia pada 2009.
Beliau berkata beliau terkejut dengan keterangan bekas jurubank Goldman Sachs Tim Leissner dan akan mendapatkan nasihat undang-undang tentang perkara yang perlu dilakukan seterusnya.
Media melaporkan kenyatannya minggu lalu berikutan keterangan Leissner dalam perbicaraan yang melibatkan pegawai bawahannya Roger Ng di mahkamah New York.
AS$1 bilion itu adalah pelaburan 1MDB ke dalam usaha sama itu. – 1 Mac, 2022.
Komen