Kami mudahkan semua permintaan siasat 1MDB dari Malaysia, kata polis Singapura


Siasatan 1MDB dibuat Malaysia di Singapura menerima kerjasama dan bantuan penuh, kata polis republik itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2022.

POLIS Singapura memberi kerjasama kepada permohonan polis Malaysia dalam siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk siasatan melibatkan Tawfiq Ayman, kata polis republik itu.

“Polis mahu menjelaskan yang semua permintaan bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diuruskan seberapa segera dan kami sudah memudahcara.

“Bagi siasatan ke atas Tawfiq Ayman, PDRM membuat permohonan untuk pergi ke Singapura bagi menjalankan siasatan lanjut pada 2 Disember 2021,” kata kenyataan dikeluarkan Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia.

Menurut kenyataan, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura (CAD) bersetuju dengan permintaan Bukit Aman pada 6 Dec bagi mengadakan beberapa siri lawatan.

Tambahnya, perhubungan terakhir dibuat pada 10 Jan lepas apabila CAD mencadangkan lawatan dilakukan antara 8 dan 9 Februari 2022.

“Kami mencadangkan beberapa tarikh lawatan dan turut mencadangkan aturan bagi mematuhi langkah pencegahan Covid-19 berkaitan sempadan. Ada beberapa perhubungan lanjut selepas itu.

“Bukit Aman memberikan balasan pada 8 Mac 2022 di mana mereka memohon untuk memasuki Singapura antara pertengahan hingga hujung Mac.”

Tawfiq Ayman, suami Zeti Akhtar Aziz (gambar) adalah individu terbaru yang terpalit dengan skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2022.

Kenyataan turut menekankan yang Singapura membantu siasatan 1MDB dibuat Malaysia dalam pelbagai cara sejak 2015, termasuk mengatur pengembalian kira-kira S$88 juta (RM270 juta) wang rampasan berkaitan 1MDB kepada kerajaan Malaysia.

“Kami akan terus memudahcara permintaan untuk bantuan selaras dengan kerangka perundangan Singapura,” kata kenyataan. 

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai responds kepada laporan yang PDRM menunggu kebenaran dan bantuan Singapura bagi menjalankan siasatan lanjut ke atas skandal 1MDB, terutama sekali siasatan melibatkan Tawfiq, suami kepada Zati Akhtar Aziz, bekas gabenor Bank Negara.

Dilaporkan yang polis mula menyiasat Tawfiq pada Mac tahun lepas selepas didapati beliau menerima dana 1MDB di dalam akaun banknya di Singapura.

Sebelum ini, Polis Singapura memaklumkan kepada Bank Negara Malaysia berkaitan transaksi mencurigakan berjumlah RM66 juta daripada Jho Low kepada sebuah syarikat yang didakwa milik suami Zeti dan anak mereka pada 2015.

Baru-baru ini Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata agensi itu ditugaskan untuk mendapatkan semula wang didakwa diterima Tawfiq daripada 1MDB.

Kenyataan Azam itu dikeluarkan selepas ditanya tentang peranan SPRM dalam kes dakwaan Taefiq dituduh menerima wang daripada 1MDB menerusi Low.

Tawfiq berkata beliau sudah memberikan kerjasama kepada SPRM dan polis berkaitan kes itu. – 13 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen