GENERASI muda Malaysia kurang faham maksud sebenar rasuah dan bahayanya, kata satu kajian sekumpulan penyelidik di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Mereka beranggapan rasuah hanya melibatkan wang dan bukan perkara lain, kata penyelidik Mengzhen Lim dari Fakulti Ekologi Manusia UPM, merumuskan kajian melibatkan 232 anak muda.
Kajian mengenai pendidikan antirasuah untuk generasi muda itu dilakukan bersama Eliza Berezina, Wan Munira Wan Jaafar dan Azlina Mohd Khir.
“Kami hanya menanyakan satu soalan kepada semua responden iaitu ‘apa itu rasuah’ dan ramai yang tidak faham maksud sebenar rasuah dengan berkata ia membawa maksud tidak jujur, wang dan politik.
“Majoriti responden juga mempunyai pemahaman yang jenayah rasuah yang berlaku jika ada transaksi atau rundingan membabitkan wang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Lim, proses mengumpul data itu dilakukan selama enam bulan di seluruh Malaysia membabitkan kumpulan umur 18 hingga 35 tahun.
“Hasil analisis kami mendapati generasi muda masih tidak faham yang jenayah lain seperti salah guna kuasa, sogokan dalam bentuk seks dan hadiah juga termasuk dalam jenayah rasuah.
“Apabila mereka tidak maksud sebenar jenayah rasuah itu, semestinya mereka boleh silap langkah dengan mudah,” katanya.
Kumpulan penyelidik ini mencadangkan lima langkah untuk pembangunan pendidikan anti rasuah di negara ini termasuk menerangkan kepada bentuk-bentuk rasuah termasuk salah guna kuasa.
“Kita patut teruskan memberikan contoh terbaik dan amalan berintegriti dalam politik.
“Ini kerana generasi muda sering mengaitkan politik dengan rasuah meskipun politik merupakan elemen penting dalam institusi demokrasi.
“Kita juga patut menjelaskan bukan semua ahli politik terbabit dalam rasuah,” katanya.
Menurut Lim, masih ramai ahli politik yang berpegang teguh kepada prinsip bebas rasuah termasuk tidak menerima hadiah daripada sesiapa.
“Amalan seperti ini tidak diketahui umum dan patut diwar-warkan sebagai contoh kepada ahli politik lain dan masyarakat secara amnya,” katanya.
Lim berkata, rasuah yang diberikan untuk sesuatu yang dijangka akan berlaku di masa depan juga patut didedahkan kepada umum.
“Ramai berpendapat wang atau hadiah lebih awal tanpa mengharapkan balasan serta merta tidak dikategorikan sebagai rasuah.
“Ini juga patut dimasukkan dalam pendidikan anti rasuah supaya generasi muda arif dan faham mengenai semua jenis rasuah,” katanya.
Frasa-frasa negatif seperti tidak jujur, haram atau penipuan yang dikaitkan dengan rasuah juga patut ditanam dalam minda generasi muda supaya ia tidak dirasionalkan di hari kemudian untuk menghalalkan rasuah, kata Lim.
“Analisis kami mendapati wujud peluang untuk generasi muda ini untuk melupakan atau merasionalkan semua frasa negatif ini jika perlu di kemudian hari.
“Jadi dengan mendedahkan mereka kepada bahaya amalan rasuah, generasi muda akan lebih beringat ketika menjadi pemimpin kelak,” katanya.
Menurut kumpulan penyelidik itu, semua cadangan itu patut diberi perhatian oleh kerajaan, pemain industri, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin memberi perhatian kepada pendidikan anti rasuah.
“Semua pihak patut memainkan peranan masing-masing dalam menyalurkan maklumat dan ilmu berkaitan anti rasuah untuk generasi muda yang bakal memimpin negara,” katanya. – 16 Mac 2022.
Komen