.jpg)
MENJELANG sambutan hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos tahun ini, kerajaan mengekalkan tema ‘Malaysia Prihatin’ sebagai tema untuk Hari Kebangsaan ke-64.
Sambutan tahun ini mungkin sahaja tidak semeriah sambutan pada tahun-tahun pra-pandemik.
Seringkali menjelang sambutan Hari Kebangsaan, perkara yang akan dikupas adalah bagaimana detik-detik kemerdekaan itu dirasai melalui penceritaan kembali sejarah perjuangan askar Melayu melawan tentera Jepun.
Filem Leftenan Adnan lakonan Hairie Othman dan filem Sarjan Hassan lakonan P Ramlee menjadi filem wajib ditonton oleh rakyat Malaysia; bertujuan membangkitkan semangat patriotisme rakyat Malaysia.
Walaupun begitu, bagi saya penghayatan terhadap nilai patriotisme di Malaysia haruslah bersilang dengan rasa kebersamaan antara semua kaum dan wilayah.
Ini kerana cara pandang setiap kaum, malah mereka yang tinggal di wilayah berbeza tentang hari kemerdekaan di Malaysia itu pun sangat rencam. Misalnya, untuk rakyat Sabah dan Sarawak tarikh 16 September lebih berat maknanya kerana lebih hampir dengan tarikh mereka bebas dan seterusnya bergabung membentuk Malaysia.
Jika cara pandang kemerdekaan itu sendiri seolah-olah terpencar, perkara utama yang saya selalu fikir adalah bagaimana setiap daripada rakyat Malaysia menanggapi maksud kemerdekaan?
Apakah melalui parti yang mereka sertai, melalui pengalaman kaum mereka atau juga melalui agama yang mereka anuti?
Hal ini tidak boleh dipandang remeh; faktor kemajmukan di Malaysia adalah asas kepada pembentukan Malaysia.
Waima sambutan hari kemerdekaan pada pertama kali di Tanah Melayu (tidak melibatkan Sabah dan Sarawak) menunjukan perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan kita melalui cara rundingan. Rundingan di sini bukan sahaja bersangkut paut rundingan bersama kerajaan British, tetapi juga rundingan dengan gabungan tiga kaum besar Melayu, Cina dan India.
Sebagai ahli Dewan Negeri Selangor, saya turut melihat hal ini dari sudut institusi dan perundangan.
Proses untuk berunding bagi membentuk sebuah kerajaan yang bebas bukanlah satu proses mudah. Melalui bermacam ragam birokrasi dan juga rundingan demi rundingan. Juga merangka satu perlembagaan negara yang boleh diterima oleh semua kaum di Tanah Melayu sewaktu itu.
Setiap hari adalah hari-hari yang tidak senang. Setiap hari adalah hari menempuh pelbagai lambakan dokumen dan perbincangan. Setiap hari dihujani dengan penuh masalah dan dugaan bagi merangka satu perlembagaan yang baik.
Selain itu juga kakitangan yang bertugas ketika itu semestinya bertungkus lumus menyediakan dan menyiapkan segala dokumen-dokumen penting untuk dipersembahkan kepada mereka yang bertanggungjawab untuk berunding.
Kita boleh bayangkan bagaimana sukarnya untuk tokoh-tokoh penting kemerdekaan waktu itu mencuba sedaya upaya menggembleng seluruh kudrat mereka bagi mengatur dan mengurus agar setiap proses rundingan kemerdekaan dapat dicapai dengan jayanya.
Kebanyakan kita hari ini meski tidak pernah merasa kerosakan dari Perang Dunia dan penjajahan, kita telahpun merasakan kerosakan yang dibawa oleh pandemik ini.
Kerosakan yang terlahir dari pandemik telah menyatukan kita semua untuk bersama-sama tanpa mengira kaum, agama atau wilayah atas faktor menyelamatkan nyawa.
Oleh sebab itu saya melihat peri penting juga untuk kita bersama-sama membantu untuk mencapai perpaduan yang diidamkan oleh semua rakyat Malaysia.
Pandemik hari ini membuktikan kepada kita semua bahawa setiap dari kita dapat menyumbang kudrat bersama-sama bagi memerangi Covid-19.
Maka ingin saya bangkitkan kembali apa yang saya renungkan; bagaimana setiap daripada kita menanggapi hari kemerdekaan?
Apakah setiap daripada kita mengidamkan perpaduan atau berasa selesa dengan apa yang sudah kita kecapi pada hari ini?
Apakah ada usaha untuk kita mencapai sebuah perpaduan yang mampan dan lebih baik?
Inginkah kita melihat setiap daripada masyarakat di Malaysia ini mampu untuk hidup dengan lebih harmoni tanpa ada rasa prejudis dan diskriminasi terhadap kaum dan agama lain?
Beberapa hari yang lalu sempat saya menonton satu wacana oleh Akademi Profesor Malaysia tentang “Perpaduan: Antara Kefahaman Awal dan Terkini” yang disampaikan oleh Prof Ulung Shamsul Amri.
Intipati yang dapat saya ambil daripada wacana tersebut adalah bagaimana pada hari ini Malaysia masih belum lagi mencapai perpaduan.
Apa yang kita capai selama ini adalah kesepaduan dan berusaha ke arah perpaduan.
Menurut Prof Shamsul Amri lagi, slogan perpaduan ini bukanlah sesuatu benda baru tetapi telah wujud sejak 1971 di dalam matlamat akhir Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ini mengambil kira faktor tragedi berdarah 13 Mei 1969.
Namun, sejak dari itu perpaduan masih belum dicapai sehingga hari ini. Apakah masalahnya?
Jadi, menurut Prof Shamsul yang dicapai hanyalah ‘kesepaduan’ iaitu suatu keadaan yang stabil dan makmur.
Kesepaduan ini dapat dikekalkan kerana wujudnya proses ‘penyatupaduan’ melalui cara tawar menawar dan rundingan. Diingatkan lagi oleh Prof Shamsul, Malaysia adalah ‘work-in-progress’ yang mana proses ‘penyatupaduan’ itu berjaya mengekalkan ‘kesepaduan’ dan memungkinkan ‘perpaduan’.
Tiga konsep ini menurut Prof Shamsul adalah ‘Tiga Konsep Keramat’ yang harus difahami bukan sahaja kepada ahli akademik tetapi juga para pemerintah, ahli politik, dan juga rakyat.
Saya turut merasakan perlunya kefahaman yang bersifat objektif sebegini untuk menyelesaikan satu-satu permasalahan yang timbul.
Ahli politik perlu keluar daripada kepompong retorik mereka dan mula menggunakan kepakaran ahli akademik yang sedia ada untuk membincangkan hal-hal integrasi nasional.
Ini kerana pembentukan sebuah masyarakat yang harmoni bukanlah sekadar isu-isu bread and butter tetapi mencakupi nilai-nilai kebudayaan dan sosial.
Apatah lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini mudah sekali tercetusnya konflik berteraskan kaum dan agama. Hal ini akan membarah jika tidak ditangani dengan serius.
Lihat sahaja bagaimana isu agama dan kaum dimainkan sewaktu kerajaan Pakatan Harapan memegang tampuk kerajaan. Ini adalah berpunca daripada sikap ahli politik yang tidak ambil kisah tentang sebuah pembentukan masyarakat yang harmoni.
Jika boleh saya cadangkan, setiap daripada ahli politik tidak mengira pihak oposisi atau kerajaan perlu mendekati golongan akademik; duduk semeja berbincang ke arah ‘perpaduan’ di Malaysia.
Slogan-slogan ‘perpaduan’ seperti Malaysian Malaysia, Perpaduan Nasional, Integrasi Nasional, Bangsa Malaysia, 1Malaysia, dan baru-baru ini Keluarga Malaysia terus menerus dilaungkan, dilagukan, disebut-sebut di media.
Tetapi semua akhirnya sering kali tinggal menjadi retorik tanpa dilandasi kefahaman yang jelas.
Ayuh, saya mengajak kesemua pembaca untuk membelek Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 yang meletakkan 3 aspirasi:
1) Membina rakyat yang patriotik dan demokratik,
2) Membentuk identiti nasional,
3) Memperkukuhkan ekosistem perpaduan.
Kesemua aspirasi ini haruslah dicerna oleh setiap lapisan masyarakat agar agenda perpaduan negara dapat dicapai dengan lebih bersepadu dan tersusun. Ini juga adalah satu tanda menunjukan kita sebagai rakyat ‘Malaysia Prihatin’.
Merdeka! Merdeka! Merdeka! – 28 Ogos, 2021.
* Edry Faizal, Adun Dusun Tua merangkap ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan Pemuda DAP (DAPSY).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen