Dr Mahathir penyelamat gerakan reformasi Anwar, kata aktivis


Amin Iskandar

Kehadiran Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) berjaya menyuntik “nafas baru” dalam melawan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Najib Razak, kata aktivis.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2018. 

KEMUNCULAN semula Dr Mahathir Mohamad dalam politik Malaysia adalah sebagai penyelamat kepada perjuangan ke arah perubahan yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim melalui gerakan Reformasi yang September ini akan genap 20 tahun, kata aktivis gerakan 1998 itu.

Mereka berkata, selepas Anwar dipenjarakan pada 2015, parti pembangkang di bawah Pakatan Rakyat (PR) berpecah dan kehadiran Dr Mahathir sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) berjaya menyuntik “nafas baru” dalam melawan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Najib Razak.

Shariffuddin Budin yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam gerakan reformasi pada 1998 berkata, pada ketika itu mereka melawan Dr Mahathir bukan kerana batang tubuh bekas perdana menteri itu akan tetapi sistem yang membenarkan pemimpin negara bertindak sedemikian.

Shariffuddin, 58, berkata, penahanan Anwar pada 2015 selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan menyebabkan PR yang dianggotai PKR, PAS dan DAP berpecah.

“Hilanglah satu tokoh yang boleh menyatu dan menggerakkan (Reformasi). Sebab lapis-lapis Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, tidak lagi sampai ke tahap Anwar Ibrahim.

“Bila Anwar tiada, kita lihat jalan ke depan ini gelap. Bagaimanakah kita nak pertahankan gerakan dua negeri ini, Selangor dan Pulau Pinang. Pakatan berpecah, PAS pun berpecah sehingga tertubuhnya Amanah.

“Lagilah kita tak nampak jalan ke hadapan. Dan pada waktu kritikal ini muncul Dr Mahathir dengan sikap menolak Najib dan mula ke arah mengiktiraf gerakan massa,” kata Shariffuddin yang dikenali sebagai “Hunter” dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.

Ahli PKR itu berkata, dua elemen ini menunjukkan terdapat kesedaran besar kepada Dr Mahathir yang merupakan musuh politik mereka ketika gerakan reformasi dilancarkan dahulu.

“Dia (Dr Mahathir) melihat jahanam negara ini disebabkan kerja buat Najib dan dia nampak untuk melawan orang macam ni, kena kembali kepada rakyat iaitu menerusi gerakan massa.

“Inilah yang menyebabkan saya yakin, dialah tokoh yang sepatutnya menggerakkan gerakan untuk menjatuhkan Najib. Kita boleh katakan, Dr Mahathir adalah penyelamat kepada gerakan reformasi,” kata Shariffuddin yang pernah bertanding mewakili Parti Keadilan Nasional di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali pada pilihan raya umum 1999.

Reformasi belum mati

Selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan daripada Kabinet Dr Mahathir pada 2 September 1998, Anwar melancarkan gerakan reformasi.

Shariffuddin dan beberapa rakannya seperti Abd Malek Hussin dan Zainuddin Amran turut bersama-sama pasukan yang menyusun jelajah Anwar di seluruh negara untuk membuat penjelasan selepas dipecat sehingalah perhimpunan besar pada 20 September 1998 di Masjid Negara dan Dataran Merdeka.

Aktivis yang juga bekas tahanan ISA Sharifuddin Budin ketika ditemui pada satu temubual bersama wartawan The Malaysian Insight di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Februari, 2018.

Tiga hari selepas Anwar ditahan ISA pada 20 September 1998, Shariffuddin turut ditahan mengikut akta sama kerana dikatakan terlibat merancang untuk mengadakan demonstrasi susulan.

Shariffuddin menafikan gerakan reformasi sudah mati sebaliknya berpendapat ia kini diteruskan dalam perjuangan PH.

“Sepanjang 20 tahun gerakan ini, ada juga yang sudah kita capai seperti ISA sudah dimansuhkan walaupun ia digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). 

“Kini kita masih lagi berusaha ke arah menumbangkan BN sekaligus melaksanakan reformasi secara menyeluruh di Malaysia,” katanya.

Tiada dendam

Seorang lagi aktivis reformasi Badaruddin Ismail, 73, berkata, pada tahun 1998, penentangan terhadap Dr Mahathir disebabkan kezaliman terhadap Anwar.

“Kezaliman Dr Mahathir itu hanya kepada satu badan dan satu nyawa iaitu Anwar. Manakala Najib dia merompak harta rakyat. Yang mendapat beban ialah rakyat.

“Berjuta nyawa dia seksa. Nampak? Kita kena bezakan yang itu. Kita melawan Dr Mahathir dulu kerana sistem yang digunapakai pada waktu itu, bukan melawan batang tubuh Dr Mahathir,” kata Badaruddin yang dikenali sebagai Pak Din itu kepada The Malaysian Insight.

Seperti, Shariffuddin, Badaruddin juga menjadi mangsa tahanan ISA di zaman pemerintahan Dr Mahathir.

Pada tahun 2001 Badaruddin merupakan aktivis kesepuluh ditahan mengikut ISA selepas Chua Tian Chang, Ezam Mohd Nor, N Gobalakrishnan, Dr Badrul Amin Baharum, Lokman Nor Adam, Saari Sungib, Hishamudin Rais, Raja Petra Kamaruddin dan Abdul Ghani Haroon.

Badaruddin mula melibatkan diri secara aktif bersama gerakan reformasi sejak pemecatan Anwar pada 2 September dan masih menyimpan rekod tentang tarikh demonstrasi dianjurkan sejak 20 September 1998 sehinggalah ditahan ISA pada 2001.

Beliau bersama rakan-rakannya memainkan peranan penting dalam menguruskan peserta demonstrasi yang ditahan daripada mencarikan peguam sehinggalah wang jaminan.

Selain itu Badaruddin juga memainkan peranan aktif dalam mengkoordinasi pentadbir laman-laman web pro reformasi seperti Mahazalim, Pemantau, Komentar, Jiwa Merdeka, Reformis Nasional dan Mahafiraun.

Badaruddin Ismail merupakan aktivis ke sepuluh ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 2001. Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Februari, 2018.

Badaruddin berkata, Malaysia kini berdepan dengan situasi lebih berat dan Dr Mahathir menambahkan lagi kekuatan untuk melawan pentadbiran Najib.

“Apabila kita berdepan dengan Najib yang menyeksa berjuta nyawa di Malaysia, mengapa pula kita nak menghalang seorang individu walaupun dia itu seorang setan ke, jembalang ke.

“Kita mesti terima demi untuk menumbangkan yang zalim ini. Luka dah sembuh, kini hanya tinggal parut, mengapa kita nak toreh lagi parut ini sampai keluar darah balik?” soal Badaruddin.  

Walaupun sudah hampir 20 tahun bersama gerakan reformasi, Badaruddin memilih untuk kekal menjadi aktivis dan tidak menyertai mana-mana parti politik.

“Saya lebih selesa sebagai aktivis, jiwa saya merdeka dan tidak boleh ikut disiplin parti,” katanya.

Walaupun mengakui terdapat reformasi dilaksanakan di negeri Selangor dan Pulau Pinang dari segi kebajikan rakyat sejak tsunami politik 2008, Badaruddin kesal kedua-dua negeri ini tidak melaksanakan janji mereka untuk menggembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Ya, mungkin itu kuasa kerajaan pusat, tetapi jika mereka benar-benar serius mahu melakukan reformasi, mereka boleh mengadakan ‘mock election’ untuk memilih ahli majlis,” katanya.

Pada 2004, Badaruddin dan beberapa bekas tahanan ISA pada 2001 menyaman kerajaan atas penahanan mereka pada tahun 2001. Selepas 12 tahun melalui proses perundangan, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan oleh polis dan kerajaan terhadap kuantum ganti rugi am diarahkan supaya dibayarkan kepada Badaruddin dan empat lagi bekas tahanan ISA pada tahun 2001.

Mahkamah juga mengarahkan kerajaan membayar sebanyak RM5.16 juta kepada lima bekas tahanan ISA itu.

Walaupun pernah menjadi mangsa ISA di zaman Dr Mahathir, kedua-dua Shariffuddin dan Badaruddin tidak menyimpan dendam terhadap pengerusi dan calon perdana menteri PH itu.

“Sekiranya kita menyimpan dendam, kita akan menyusahkan hidup kita sendiri. Walaupun dengan Dr Mahathir atau sesiapa sahaja.

“Apabila kita tidak berdendam, kita akan mendapat ketenangan jiwa. Ketenangan jiwa ini tidak boleh dijual beli,” kata Badaruddin.– 9 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen