2,000 babi dimusnahkan di Sarawak, kata pengarah jabatan veterinar


Desmond Davidson

Wabak demam babi Afrika (ASF) yang melanda Sarawak sejak Mac tahun lepas menyebabkan lebih 2,000 haiwan ternakan ladang itu dimusnahkan. – Gambar EPA, 4 Mac, 2022.

LEBIH 2,000 ekor babi ternakan ladang dimusnahkan di Sarawak bagi membendung penularan demam babi Afrika (ASF) sejak penularannya pada Mac tahun lepas.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Adrian Susin Ambud bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight wabak itu masih terkawal.

Beliau berkata setakat ini enam kawasan di bahagian utara negeri itu diisytiharkan sebagai kawasan kawalan penyakit demam babi Afrika.

Dr Adrian berkata wabak itu setakat ini menyebabkan RM100 juta setahun perdagangan babi dan produk babi dengan Singapura tidak disentuh.

Perdagangan itu menyumbang satu perlima daripada RM500 juta setahun industri pengeluaran babi negeri.

Beliau berkata ini kerana ladang ternakan babi yang dieksport ke Singapura terletak di bahagian selatan negeri itu kira-kira 90 kilometer (km) dari kawasan terkawal ASF terdekat di Sarikei.

Ladang Pasir Putih seluas 804 hektar di Simunjan kira-kira 60km dari Kuching merupakan salah satu ladang babi moden di negeri ini dengan kilang makanan sendiri, rumah penyembelihan dan oleh itu mempunyai kapasiti untuk mencegah jangkitan dan mengawal penyakit babi.

Dr Adrian berkata ladang moden serba lengkap itu mempunyai biosekuriti tahap tertinggi.

Sebagai contoh semua fomite perlu dibasmi kuman secara menyeluruh sebelum mereka dibenarkan masuk ke ladang.

Sarawak kini mengeksport 2,000 ekor babi hidup ke Singapura setiap minggu.

Negeri itu juga mengeksport “sedikit” - RM1 juta setahun ke negara jiran Brunei dan terdapat perdagangan babi yang berkembang pesat di sepanjang bahagian tertentu sempadan Sarawak-Kalimantan.

ASF ialah penyakit pendarahan yang membawa maut dan sangat berjangkit, kata Dr Adrian.

Beliau berkata sebab itu babi yang dieksport ke Singapura semuanya mempunyai sijil kesihatan individu.

“Mereka diuji di sini dan diuji di sana sebaik tiba di Singapura,” tambahnya.

Virus merebak antara babi melalui sentuhan langsung, sentuhan dengan makanan yang tercemar atau sentuhan dengan vektor seperti kutu.

Ia diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia sebagai penyakit Senarai A dengan kematian sehingga 100%.

Juga tiada vaksin yang berkesan terhadap penyakit ini.

Walaupun ASF membawa maut kepada babi namun ia tidak diketahui menjangkiti manusia atau haiwan lain.

Wabak itu pertama kali dilaporkan dalam kalangan babi liar (babi hutan) di bahagian Limbang di utara negeri itu.

Babi mati dibuang secara senyap

Dr Adrian berkata penyakit itu dipercayai disebarkan ke Limbang oleh babi liar dari dua kawasan dijangkiti di seberang sempadan di utara Kalimantan.

Dari Limbang ASF merebak ke selatan.

Enam kawasan di Sarawak yang diisytiharkan sebagai kawasan kawalan penyakit demam babi Afrika ialah bahagian Limbang dan Kapit, daerah Telang Usan di Miri, Durin di daerah Sibu, Meradong dan Repok di daerah Sarikei.

Pergerakan babi di kawasan kawalan ini adalah dilarang sama sekali kecuali yang mempunyai kawalan pergerakan dan sijil kesihatan. Haiwan ini memerlukan kedua-dua ini walaupun pergi ke rumah penyembelihan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) juga akan memantau dan menguji semua babi di ladang kawasan ini sama ada ladang komersial, ladang pekebun kecil dan juga babi asli yang dipelihara di kampung serta rumah panjang.

Dengan ladang yang berdepan masalah kewangan jika dilanda penyakit itu terdapat laporan beberapa ladang membuang babi mati mereka secara senyap seperti kes di Miri di mana 85 bangkai ditemui dibuang ke Sungai Rait bulan lepas.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri Dr Stephen Rundi Utom mengarahkan siasatan skala penuh dibuat ke atas insiden berkenaan.

Dr Adrian tidak akan menyatakan sama ada pihaknya mengenal pasti ladang Miri yang sesat itu tetapi berkata ladang itu berdepan denda maksimum RM1,500 jika dikompaun di bawah Seksyen 12 Kesihatan Awam Veterinar (Kawalan Peraturan Penternakan Ternakan 2003) kerana melupuskan bangkai tidak mengikut syarat lesen atau garis panduan.

Terdapat lapan ladang pekebun kecil di kawasan Sungai Rait.

Bagi membantu mewujudkan zon penampan antara ladang babi di selatan dan kawasan terkawal penyakit ASF Timbalan Perdana Menteri Douglas Uggah dalam dua bulan lalu menasihati penduduk rumah panjang untuk menyembelih semua babi mereka dan berhenti menternaknya buat sementara waktu.

Uggah membuat rayuan kerana terdapat banyak laporan daripada penduduk rumah panjang bahawa kebanyakan babi mereka mati akibat ASF.

Dr Adrian berkata babi asli yang diternak di kampung dan rumah panjang ini adalah yang paling terdedah kepada penyakit itu.

“Penduduk rumah panjang dahulu memburu babi hutan. Mereka berpotensi membawa balik haiwan yang dijangkiti.

“Anjing pemburu mereka juga boleh dijangkiti dan menjangkiti,” katanya. – 4 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen