Kembalikan fungsi asal KWSP


KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar agihan keuntungan atau dividen bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 sebanyak 6.10 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.65 peratus bagi simpanan syariah.

Pemberian dividen ini adalah yang tertinggi sejak 2019.

Dalam tempoh dua tahun terakhir, Malaysia telah dan masih bergelumang dengan kemelut ekonomi maha besar berikutan pandemik Covid-19. KWSP sebagai institusi kewangan dan keselamatan sosial pekerja turut terjejas teruk.

Berikutan penyediaan beberapa kemudahan pengeluaran kecemasan seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, RM101 bilion telah disalurkan kepada lebih 7.4 juta pencarum. KWSP terpaksa mencairkan aset dan pelaburan bagi menampung aliran keluar wang luar biasa ini.

Siri pengeluaran ini telah lari daripada matlamat asal penubuhan KWSP. KWSP dibina sebagai tabungan masa tua. Namun beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan KWSP seolah-olah bertukar menjadi institusi perbankan. 

Desakan untuk pengeluaran wang daripada simpanan KWSP masih berterusan dipelopori oleh segelintir politikus yang populis.

Fahaman ini yang cuba diubah kerajaan. KWSP adalah deposit masa hadapan, bukan mesin ATM masa kini. Pengeluaran secara besar-besaran bukan sahaja menjejaskan KWSP sebagai institusi kewangan, malah turut memberi kesan kepada ahlinya.

RM101 bilion yang dikeluarkan secara berperingkat dalam tiga siri pengeluaran sebelum ini telah mengakibatkan 6.1 juta pencarum kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka. 

Daripada jumlah ini, seramai 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000 seterusnya menjadikan mereka lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan.

Kita sedar bahawa pandemik Covid-19 yang mewabak berlaku di luar duga. Pengeluaran kecemasan sebelum ini mungkin memberikan kelegaan sementara buat sebahagian pencarum. Namun, hentikan permintaan pengeluaran wang KWSP yang seterusnya.

Fokus sewajarnya diberikan untuk membina semula simpanan ahli demi masa depan persaraan. Pemberian dividen yang tinggi adalah langkah pertama ke arah mengembalikan fungsi asal KWSP. 

Kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa sektor ekonomi akan terus dibuka dan rakyat tidak akan kembali dikurung. Ini satu berita baik buat KWSP dan 14.8 juta ahlinya. 

Wang KWSP adalah simpanan masa hadapan. Untuk masa kini, kerahkan kudrat dan tenaga muda dengan bekerja. Hentikan trend yang seolah-olah menjadikan KWSP seperti bank. 

Fungsi KWSP perlu diingatkan buat yang terlupa dan dikembalikan buat kesenangan masa tua. 

Sektor ekonomi sudah dibuka dan akan terus dibuka, dividen sudah meningkat, ayuhlah kita kembali bekerja. – 2 Mac, 2022.

* Johan Mat, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sejak PH amik alih, dividend KWSP, ASB semua jatuh menjunam. Ternyata gandingan DS ismail sabri dan tengku zafrul adalah terbaik utk memulihkan semula ekonomi kita

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Leman Daud · Ulasan

  • Setuju dengan pandangan penulis. KWSP perlu dikembalikan kepada fungsinya yang asal agar pencarum dapat menikmati perlindungam persaraan yang lebih baik pada masa hadapan. Syabas saya ucapkan kepada barisan kabinet terutama pimpinan yab perdana menteri

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Haqiem Ruskie · Ulasan

  • Jika pengeluaran KWSP masih dibenarkan, pencarum takkan dapat manfaat sepenuhnya di usia tua kelak. Tak perlu jadi populis untuk mendapatkan sokongan. DS Ismail Sabri membuat keputusan yg tepat untuk kebaikan rakyat pada masa hadapan. Syabas dan tahniah diucapkan.

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Nabila Arnawati · Ulasan

  • Saya bersyukur masih ada orang yang sedar bertapa pentingnya KWSP ni untuk tidak dikeluarkan seperti penulis di atas. Sebenarnya golongan yang mendesak untuk pengeluaran rata ratanya penyokong PH dan seperti kita tahu penyokong PH biasanya dalam kalangan M40 dan T20. Gandingan DS ismail sabri dan tengku zafrul adalah jalan yang terbaik untuk menyelamatkan ekonomi kita. Semoga tuhan merahmati mereka berdua sehinnga merek mati. Takbirrr!

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Ben Xabi alonso de alburque · Ulasan