KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar agihan keuntungan atau dividen bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 sebanyak 6.10 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.65 peratus bagi simpanan syariah.
Pemberian dividen ini adalah yang tertinggi sejak 2019.
.jpg)
Dalam tempoh dua tahun terakhir, Malaysia telah dan masih bergelumang dengan kemelut ekonomi maha besar berikutan pandemik Covid-19. KWSP sebagai institusi kewangan dan keselamatan sosial pekerja turut terjejas teruk.
Berikutan penyediaan beberapa kemudahan pengeluaran kecemasan seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, RM101 bilion telah disalurkan kepada lebih 7.4 juta pencarum. KWSP terpaksa mencairkan aset dan pelaburan bagi menampung aliran keluar wang luar biasa ini.
Siri pengeluaran ini telah lari daripada matlamat asal penubuhan KWSP. KWSP dibina sebagai tabungan masa tua. Namun beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan KWSP seolah-olah bertukar menjadi institusi perbankan.
Desakan untuk pengeluaran wang daripada simpanan KWSP masih berterusan dipelopori oleh segelintir politikus yang populis.
Fahaman ini yang cuba diubah kerajaan. KWSP adalah deposit masa hadapan, bukan mesin ATM masa kini. Pengeluaran secara besar-besaran bukan sahaja menjejaskan KWSP sebagai institusi kewangan, malah turut memberi kesan kepada ahlinya.
RM101 bilion yang dikeluarkan secara berperingkat dalam tiga siri pengeluaran sebelum ini telah mengakibatkan 6.1 juta pencarum kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka.
Daripada jumlah ini, seramai 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000 seterusnya menjadikan mereka lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan.
Kita sedar bahawa pandemik Covid-19 yang mewabak berlaku di luar duga. Pengeluaran kecemasan sebelum ini mungkin memberikan kelegaan sementara buat sebahagian pencarum. Namun, hentikan permintaan pengeluaran wang KWSP yang seterusnya.
Fokus sewajarnya diberikan untuk membina semula simpanan ahli demi masa depan persaraan. Pemberian dividen yang tinggi adalah langkah pertama ke arah mengembalikan fungsi asal KWSP.
Kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa sektor ekonomi akan terus dibuka dan rakyat tidak akan kembali dikurung. Ini satu berita baik buat KWSP dan 14.8 juta ahlinya.
Wang KWSP adalah simpanan masa hadapan. Untuk masa kini, kerahkan kudrat dan tenaga muda dengan bekerja. Hentikan trend yang seolah-olah menjadikan KWSP seperti bank.
Fungsi KWSP perlu diingatkan buat yang terlupa dan dikembalikan buat kesenangan masa tua.
Sektor ekonomi sudah dibuka dan akan terus dibuka, dividen sudah meningkat, ayuhlah kita kembali bekerja. – 2 Mac, 2022.
* Johan Mat, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Leman Daud · Ulasan
Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Haqiem Ruskie · Ulasan
Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Nabila Arnawati · Ulasan
Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Ben Xabi alonso de alburque · Ulasan