Apa dasar Pakatan tentang tindakan afirmatif, soal ahli akademik


Amin Iskandar Noel Achariam

Pensyarah Universiti Malaya Profesor Dr Edmund Terence Gomez berkata Pakatan harapan perlu umum dasar awamnya berhubung isu sensitif menjelang PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Februari, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) perlu mengumumkan dasar awamnya berhubung isu sensitif termasuk tindakan afirmatif dan campur tangan kerajaan dalam perniagaan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah terlalu dekat, kata pensyarah Universiti Malaya Profesor Dr Edmund Terence Gomez.

Beliau berkata pengundi mahu tahu apakah dasar awam PH yang membezakan mereka dengan gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN).

“Apa pendirian mereka terhadap tindakan afirmatif dan campur tangan kerajaan (dalam perniagaan).

“Apakah model alternatif pembangkang dalam isu ini?

Mereka (PH) kata ada dalam manifesto, tetapi mengapa mereka ambil masa terlalu lama untuk keluarkan?” soal Gomez kepada pemberita selepas forum bertajuk “GE14: The polls, the meaning, the stakes” di Petaling Jaya malam tadi.

Gomez berkata kedua-dua BN dan PH tidak berani bercakap secara terbuka mengenai isu yang sukar itu dan kurangnya debat tentang dasar tersebut kerana masing-masing takut hilang sokongan.

Katanya, pada 1971 kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru untuk merapatkan jurang kemiskinan antara kaum dan ia sudah lebih 40 tahun.

“Polisi ini dicipta untuk masyarakat luar bandar tetapi mereka masih miskin.

“Jadi, perlu dasar awam baru diperkenalkan untuk benar-benar membebaskan golongan ini daripada kemiskinan,” katanya.

Gomez berkata semasa Perdana Menteri Najib Razak mengambil alih kuasa pada 2009, terdapat reformasi dan dasar baharu diperkenalkan kerajaan.

“Tetapi dasar awam yang diperkenalkan seperti tidak membawa kita ke hadapan,” katanya.

Setahun selepas jadi perdana menteri, Najib pada Mac 2010 memperkenalkan Model Ekonomi Baru dengan teras utamanya menghapuskan kuota pemilikan mengikut kaum.

PH sejak minggu kedua Januari lalu memulakan diskusi mengenai dasar-dasar yang akan ia perkenalkan melalui dialog mingguan yang dikendalikan oleh pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Pada sesi “Harapan Baru: Policy talks” sekali seminggu itu, Dr Mahathir menjawab persoalan mengenai manifesto pilihan raya PH serta polisi gabungan pembangkang.

Gomez berkata kalau dilihat pada trend pengundian dalam pilihan raya sebelum ini, dasar awam parti yang bertanding memberikan pengaruh kepada pengundian.

“Ada kebimbangan mengenai dasar awam dalam kalangan pengundi terutamanya di kawasan orang miskin luar bandar.

“Sekarang tidak banyak perbincangan tentang dasar awam dan apakah perkara baharu yang akan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata masyarakat luar bandar masih belum melihat perubahan dasar awam tentang perkara ini dan pembangkang masih belum membangkitkannya.

“Pembangkang tidak terlalu bimbang dengan pengundi bandar kerana dasar awam tidak begitu memberikan kesan kepada mereka.

“Apa pun yang berlaku, pembangkang masih selamat (di kawasan bandar),” katanya.

Gomez berkata apa yang diperlukan masyarakat luar bandar ialah perubahan struktural.

“Apabila saya ke Kedah, Terengganu dan Kelantan pada 2013, saya bertanya apakah masalah mereka dan dasar awam apakah yang mempengaruhi mereka.

“Mereka kata mereka mahukan pendidikan yang baik untuk anak.

“Mereka mahukan infrastruktur lebih baik supaya boleh tingkatkan produktiviti, bekalan air yang baik dan perkhidmatan pengangkutan.

“Berbanding dengan negeri lain, pembangunan infrastruktur luar bandar masih lagi teruk,” katanya.

Katanya, bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi bercakap tentang perkara ini menjelang pilihan raya umum 2004 dan menang besar.

“Mengapa kerajaan tidak bangkitkan isu ini?

“Ini isu yang perlu diberi perhatian. Sebab itu pendidikan penting untuk meningkatkan kemahiran mereka. Ini cara untuk keluarkan mereka daripada kemiskinan.

“Memang terdapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tetapi ia hanyalah pemberian tunai,” katanya. – 9 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen