Lebih 12,000 isi rumah di 7 wilayah selatan Thailand terjejas banjir


Lebih 4,000 isi rumah di lapan daerah di Narathiwat masih terjejas akibat banjir yang dijangka surut dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi. – Gambar AFP, 2 Mac, 2022

HUJAN lebat menyebabkan lebih 12,000 isi rumah di tujuh wilayah di selatan Thailand terjejas akibat  banjir. 

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana berkata hujan lebat sejak 25 Februari lalu menyebabkan 12,189 isi rumah di tujuh wilayah - Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla, Phatthalung, Nakhon Si Thammarat dan Trang terjejas akibat  banjir.

“Setakat hari ini, paras air di beberapa kawasan sudah surut. Namun, masih terdapat 9,930 isi rumah dari 320 kampung di empat wilayah - Narathiwat, Pattani, Yala dan Phatthalung masih terjejas.

“Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana akan bekerjasama dengan kerajaan tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Mukim Munok di Sungai Golok di sempadan Thailand-Malaysia  mendapati jalan masih dinaiki air setinggi satu meter.

Gabenor Narathiwat Sanan Pongaksorn berkata wilayah itu antara yang paling teruk terjejas akibat banjir.

Beliau berkata lebih 4,000 isi rumah di lapan daerah di Narathiwat masih terjejas akibat banjir.

“Air dijangka surut dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi,” katanya. – Bernama, 2 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen