Ketua perunding Thai puji peranan Malaysia sebagai fasilitator rundingan damai


Pattani antara wilayah yang sering bergolak antara penduduk Islam dengan tentera Thailand sebelum ini. – Gambar EPA, 16 Januari, 2022.

MALAYSIA melaksanakan peranan sebagai fasilitator dengan baik dalam rundingan damai bagi menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand, kata ketua perunding bagi rundingan damai selatan Thailand Jeneral Wanlop Rugsanaoh.

“Sejak dua tahun lalu, saya berperanan sebagai ketua panel dialog keamanan, saya lihat Malaysia melaksanakan tugas sebagai fasilitator dengan sangat baik… tanpa berpihak kepada sesiapa,” kata beliau dalam satu sesi temubual pada Sabtu.

Ketika ditanya mengenai cadangan kumpulan dari selatan Thailand, Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) supaya panel dialog keamanan menaik taraf peranan Malaysia daripada fasilitator kepada pengantara, Wanlop berkata, ia terpulang kepada anggota panel dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk membuat keputusan.

Sesi temubual diadakan selepas Wanlop mengadakan sidang media sempena rundingan damai secara bersemuka yang berlangsung selama dua hari bermula 11 Januari di Kuala Lumpur selepas ditangguhkan selama hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Pertemuan itu memberi sinar harapan bagi menamatkan pertumpahan darah di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, yang mana majoriti penduduknya beragama Islam. Lebih 7,000 orang terbunuh dalam konflik bersenjata di selatan Thailand sejak 2004.

Sementara itu, Wanlop turut melahirkan harapan bekas ketua polis negara Abdul Rahim Mohd Noor yang mewakili kerajaan Malaysia terus berperanan sebagai fasilitator.

Beliau berkata, Abdul Rahim mempunyai pengetahuan yang baik mengenai kerumitan isu di wilayah berkenaan dan berazam untuk melihat konflik di selatan Thailand selesai dalam masa terdekat.

“Saya berpendapat jika beliau terus bertindak sebagai fasilitator, kita akan menyaksikan lebih banyak kemajuan,” katanya.

Wanlop berkata, Abdul Rahim cuba sedaya upaya dalam meneruskan rundingan damai dengan memudahcara perjumpaan dalam talian serta pelbagai saluran lain termasuk pertemuan secara bersemuka di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Beliau berperanan penting dalam memastikan pertemuan kedua-dua pihak berlaku,” katanya.

Wanlop menegaskan Thailand komited mencari resolusi damai melalui perbincangan dan mesyuarat bagi menamatkan konflik bersenjata dengan cara mampan.

Beliau menambah sesi panel itu diharap dapat mengurangkan keganasan serta mengadakan lebih banyak perbincangan dan rundingan dengan penduduk tempatan demi mencapai keputusan positif. – Bernama, 16 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen