Kru kapal tangki warga Rusia disyaki jatuh laut


SEORANG kru kapal tangki warga Rusia dikhuatiri lemas selepas disyaki terjatuh ke dalam laut di kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika timur Tanjung Gelang di Kuantan, malam tadi. 

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Kamal Ariffin Jusoh berkata, Nerkrasov Sergey, 48, disedari hilang dari kapal itu pada jam 10.30 malam.

Beliau berkata, kapal itu berdaftar di Liberia dan dilaporkan belayar dari Pasir Gudang, Johor ke Pula, Croatia.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sebaik sahaja Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan menerima laporan daripada ibu pejabat Maritime Rescue Coordinating Centre (MRCC) di Putrajaya.

“Bot peronda yang beroperasi di sekitar lokasi segera diatur gerak untuk melaksanakan SAR. APMM Pahang juga menyalurkan maklumat kejadian kepada MRSC Johor dan aset udara APMM bagi tujuan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamal Ariffin berkata, maklumat kejadian juga disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan dan rakan agensi bagi membantu operasi mengesan mangsa. – Bernama, 23 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen