Tumpahan minyak ancam alam sekitar, kata aktivis


Khoo Gek San

Dalam tempoh 10 tahun yang lalu banyak negara memperketatkan undang-undang melindungi alam sekitar di kawasan perairan mereka, tidak seperti Malaysia yang lambat bertindak, kata aktivis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2020.

KEPESATAN aktiviti pelabuhan di Malaysia menyebabkan pencemaran yang berterusan di perairan negara dan merosotkan kualiti air laut, kata aktivis alam sekitar.

Pembuangan sisa oleh kapal tangki dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang menjadi faktor utama pencemaran laut dan kawasan persisiran pantai, tambah mereka.

Aktivis juga berkata kerajaan lambat melaksanakan perubahan untuk melindungi alam sekitar, menyebabkan kapal-kapal bebas membuang sisa di perairan negara.

Naib Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Sophine Tann memberikan contoh kejadian tumpahan minyak di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor pada 14 September lalu.

“Apa tindakan yang diambil sejak tumpahan minyak di Pelabuhan Pasir Gudang? Ada kita dengar kawasan yang tercemar dipulihkan, atau tindakan terhadap operator kapal yang terlibat?

“Adakah sebarang perancangan menyeluruh dan sistem bagi mengelakkan kejadian sama berulang di masa depan? Tidak ada, bukan?

“Mengapa kerajaan tidak ambil tindakan terhadap pelaku?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Jabatan Laut, mereka telah menjalankan siasatan menyeluruh bersama Lembaga Pelabuhan Johor ke atas kejadian pada 14 September lalu, dan  tumpahan minyak berjaya dikawal sepenuhnya pada hari yang sama.

Jabatan itu bagaimanapun tidak mendedahkan kawasan mana yang terjejas dan kos pembersihan yang terlibat.

10 tahun ke belakang

Malaysia lambat bertindak dalam usaha melindungi alam sekitar, menurut sumber dari sebuah syarikat maritim.

Dalam tempoh 10 tahun yang lalu banyak negara memperketatkan undang-undang melindungi alam sekitar di kawasan perairan mereka, mengurangkan risiko kejadian tumpahan minyak serta menambah baik keselamatan dan teknologi antipencemaran membabitkan kapal tangki, katanya.

Singapura misalnya melarang kapal tangki single-hull dan single-deck sejak 10 tahun lalu, ekoran kesan tumpahan minyak yang mengancam ekologi.

Sedangkan Malaysia baru sahaja memutuskan untuk menetapkan larangan ke atas kapal tangki jenis itu, kata sumber lagi.

The Malaysian Insight difahamkan Jabatan Laut menerusi pekeliling pada 5 Ogos menyatakan kapal tangki Single Hull Single Bottom yang berdaftar di Malaysia tidak dibenarkan membawa Minyak Gred Berat (HGO) sebagai kargo tanpa mengira umur kapal.

Bagi kapal tangki Single Hull Double Bottom yang berdaftar di Malaysia, kebenaran membawa HGO hanya terhad bagi kapal yang tidak melebihi umur 25 tahun.

Had pelayaran kapal juga hanya untuk 20 batu nautika daripada dataran terdekat di Semenanjung atau Sabah, Sarawak dan Labuan. – 7 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.                



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen