Kerajaan Selangor akur keputusan Mahkamah Persekutuan


DUN Selangor akan bersidang semula dari 14 hingga 25 Mac depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2022.

KERAJAAN negeri Selangor akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tiada bidang kuasa untuk menggubal enakmen yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah mendengar semakan kehakiman berhubung keputusan dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Susulan itu, Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata, selepas ini pihaknya yakin perkara sedemikian dapat dikurangkan dengan adanya panduan daripada Mahkamah Persekutuan.

“Saya sebagai speaker dan ketua legislatif Selangor bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan kerajaan negeri akur dan menghormati keputusan itu.

“Kita tahu undang-undang negeri dan persekutuan (undang-undang) ada bercanggah, ia perkara biasa. Namun apabila mahkamah memutuskan (keputusan) kita akur dan kerajaan negeri perlu faham dengan perkara itu,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian bantuan pakaian sekolah bagi pelajar terjejas banjir tahun lalu di pejabat daerah dan tanah Sabak Bernam, hari ini.

Pada 22 September lalu, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada Sister In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk meneruskan tindakan perundangannya di Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan.

SIS memohon kebenaran itu untuk mendapatkan satu deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak sah.

Mengenai kebarangkalian kes Covid-19 terus meningkat semasa sidang DUN bermula 14 hingga 25 Mac depan, Adun Sekinchan itu berkata, jika perkara terbabit berlaku berkemungkinan ujian saringan secara harian akan dilakukan ke atas semua Adun dan pegawai berbanding saringan dua kali seminggu sebelum ini.

Ng berkata, bagi sidang DUN kali ini akan membabitkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan bagi memberi lebih banyak bantuan kepada mangsa banjir serta rancangan dan projek untuk mengatasi banjir di negeri itu. – Bernama, 22 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen