Jangan sentuh hutan simpan Kuala Langat, kata kumpulan aktivis


Kerajaan Selangor mahu meneroka dan membangunkan 931 hektar hutan tanah gambut bagi memberi laluan kepada "pembangunan campuran".– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2020.

GABUNGAN untuk melindungi Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR) menggesa kerajaan negeri Selangor untuk menarik balik cadangan menyahwartakan zon hijau itu untuk pembangunan, kerana Dewan Undangan Negeri telah meluluskan usul pada 11 November untuk melindungi kawasan yang digazetkan sebagai hutan simpan itu.

Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) berkata Adun telah menolak cadangan kerajaan Selangor untuk menyahwartakan KLNFR bagi tujuan “projek pembangunan campuran”.

“Usul itu dibangkitkan oleh YB Najwan Halimi (Kota Anggerik-PKR), yang menyatakan semua orang mempunyai tanggungjawab moral untuk melindungi alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

“Selain kemusnahan alam sekitar dan biodiversiti yang sering dibangkitkan media, YB Najwan juga menunjukkan bahawa kawasan di sekitar KLNFR secara relatifnya masih kurang maju. Oleh itu, tidak ada sebab untuk menceroboh hutan simpan, yang mana ia suatu keputusan yang menunjukkan kurangnya perancangan oleh kerajaan negeri.”

Usul itu dibuat setelah lebih daripada 45,000 bantahan diserahkan berhubung penyahwartaan KLNFR.

Kerajaan Selangor mahu meneroka dan membangunkan 931 hektar hutan tanah gambut yang bersempadan Cyberjaya, Putrajaya, Putra Heights dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi memberi laluan kepada “pembangunan campuran”.

PHSKLU hari ini mengatakan akan memantau keadaan kerana keputusan akhir mengenai nasib KLNFR terletak pada majlis eksekutif Selangor.

“Setelah mesej yang jelas dan sebulat suara dari rakyat Selangor dan wakil rakyat mereka, apa pun keputusan untuk meneruskan penukaran status KLNFR adalah sangat mengejutkan.”  – 13 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen