Kumpulan desak pendengaran awam hutan Kuala Langat ditangguh


Selangor mahu membatalkan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara, cadangan yang mendapat bantahan banyak pihak termasuk Orang Asli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2020.

GABUNGAN Melindungi Hutan Negeri Selangor mahu kerajaan negeri menjadualkan semua majlis pendengaran awam pembatalan status gazet Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, kumpulan itu berkata semua pihak dan mereka yang terkait dengan majlis itu memerlukan lebih banyak masa persediaan untuk pendengaran itu.

“Ada ahli yang hanya menerima surat jemputan pada 23 September sedangkan pendengaran awam itu pada 29 September.

“Gabungan, Orang Asli dan semua pihak yang terkesan memerlukan lebih banyak masa untuk persediaan,” katanya.

Cadangan kerajaan negeri untuk membatalkan status gazet HSKLU dibuat pada 5 Februari lalu dan jemputan dihantar kepada pihak berkepentingan di daerah Kuala Langat untuk menyuarakan bantahan mereka.

Gabungan itu berjaya mengutip 43,502 bantahan dalam tempoh hanya 20 hari dan menyerahkannya kepada kerajaan negeri pada 4 Mac lalu.

Kumpulan itu turut menolak sebab kerajaan negeri untuk membatalkan status hutan simpan kerana ia didakwa sudah hilang sifat hutan simpan dan “mudah terbakar”, berkata Orang Asli sudah menanam semula pokok baharu di kawasan itu serta mengadakan rondaan cegah kebakaran.

Pendengaran awam itu akan dipengerusikan Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian di Amverton Resort, Pulau Carey.

Pengarah Global Environment Centre Faizal Parish berkata, walaupun pendengaran itu adalah peluang untuk pihak berkepentingan HSKLU menyuarakan bantahan mereka dan membentangka fakta menentang cadangan itu, surat jemputan hanya diberikan beberapa hari sebelum sesi berlangsung.

“Masyarakat Orang Asli juga belum menerima surat jemputan sedang mereka perlu dimaklumkan lebih awal.

“Selain tempoh notis yang singkat, tempat pendengaran dibuat terletak di luar Mukim Tanjung 12, yang hampir sejam dari HSKLU dengan pilihan pengangkutan awam terhad.”

Katanya, situasi itu tidak membantu memenuhi matlamat penganjuran pendengaran awam dan menghalang pihak berkaitan terutama Orang Asli untuk hadir majlis itu.

“Semua orang dari daerah Kuala Langat dan orang lain yang berminat sepatutnya berhak bercakap dan berhak menyatakan pandangan mereka ke atas cadangan kerajaan negeri.” – 26 September, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen