43,000 bantah rancangan Selangor bangunkan hutan simpan Kuala Langat


Sheridan Mahavera

Selangor mahu membangunkan 931 hektar hutan paya gambut yang bersempadan dengan Cyberjaya, Putrajaya, Putra Heights dan KLIA untuk memberi laluan kepada pembangunan bercampur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2020.

LEBIH 43,500 bantahan difailkan terhadap rancangan Selangor untuk mengurangkan dan membangunkan hutan simpan penting di Kuala Langat, kata gabungan kumpulan masyarakat sivil.

Bantahan ini termasuk lebih 13,000 surat daripada individu yang dikemukakan kepada Jabatan Perhutanan Negeri yang mengumpulkan maklum balas orang ramai mengenai rancangan untuk mengurangkan 97% rizab Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Bantahan selebihnya adalah melalui tandatangan petisyen dilancarkan oleh Gabungan untuk Melindungi Hutan Selangor, yang akan mengadakan kempen untuk menghentikan kerajaan negeri daripada melaksanakan rancangan itu.

Selangor mahu mengurangkan dan membangunkan 931 hektar hutan paya gambut yang bersempadan dengan Cyberjaya, Putrajaya, Putra Heights dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk memberi laluan kepada “pembangunan bercampur”.

Gabungan itu juga menyerahkan dua permintaan bersama bantahan, kata jurucakapnya Leela Panikkar.

Permintaan pertama adalah jabatan melanjutkan tempoh bantahan selama 30 hari lagi dan yang kedua, menerima bantahan dari luar Kuala Langat.

“Ramai orang di Kuala Langat tidak menyedari isu itu tetapi ramai, yang apabila menyedari tentang penarikan balik status rizab yang dicadangkan, menandatangani surat bantahan,” kata Leela kepada The Malaysian Insight.

“Tempoh 30 hari terlalu pendek untuk mendapatkan semua fakta. Saiz penarikan status rizab yang dicadangkan adalah besar. Kami juga tidak diberi masa atau maklumat mencukupi untuk mengkaji kesan tindakan itu.

“Kedua, rizab hutan adalah isu kepentingan negara. Bantahan tidak boleh dihadkan kepada penduduk Kuala Langat sahaja. Daerah Sepang hanya kurang 10 meter jaraknya tetapi penduduknya tidak dapat membantah.

“HSKLU adalah sumber negeri yang tidak ternilai. Semua orang di Selangor sepatutnya mempunyai suara terhadap cadangan kerajaan negeri.” – 5 Mac, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen