Pembangkang mesti bersatu kalau mahu Perikatan tumbang, kata Pejuang


Kamles Kumar

Ketua penerangan Pejuang mengkritik kenyataan Adun Sekinchan Ng Suee Lim bahawa permusuhan Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR Anwar punca perpecahan dalam PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2021.

PEMBANGKANG mesti bersatu jika mahu mengambil alih Putrajaya dari Perikatan Nasional (PN), bukan berbalah tentang siapa yang harus dinamakan sebagai calon perdana menteri, kata pemimpin Pejuang.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Ulya Aqamah Husamudin mengkritik Adun Sekinchan Ng Suee Lim dari DAP kerana membangkitkan isu tersebut, sedangkan yang paling utama ketika ini adalah bagaimana menyatukan pembangkang untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kalau asyik bangkit isu ini, sampai menimbulkan perpecahan dan kemarahan dalam pembangkang, jangan bermimpi jadi kerajaan sekali lagi.

“Kita tak akan menang kalau pembangkang tak bersatu. Kerajaan sekarang amat lemah dan pada masa sama pembangkang juga sudah retak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ng, yang juga naib pengerusi DAP Selangor, menggesa Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berhenti “bermimpi” untuk jadi perdana menteri kali ketiga dan beri laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beliau berkata permusuhan Dr Mahathir dengan Anwar menjadi punca perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH).

Kenyataan Ng itu diselar Ulya, yang menurutnya menyimpang daripada rancangan asal iaitu menumbangkan PN.

“Ini bukan tentang Dr Mahathir dan Anwar, tetapi kita sebagai rakyat Malaysia bersatu padu melawan rejim yang hanya pentingkan poket sendiri ketika rakyat sedang menghadapi krisis kesihatan.

“Perjuangan ini demi rakyat. Kita masuk politik kerana rakyat. Matlamat utama kita rapatkan saf, bertenang dan cari titik tengah,” jelas Ulya.

Tambahnya, tindakan Ng yang mendedahkan masalah dalam PH akan menyebabkan pengundi enggan menyokong pembangkang lagi.

“Dalam tempoh sukar ini, kita perlu fokus kepada isu rakyat. Bercakap tentang isu politik secara umum hanya membuatkan rakyat menyampah dengan ahli politik.

“Konflik dalaman elok diselesaikan secara baik. Usahlah kita mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Dr Mahathir menubuhkan Pejuang selepas dipecat dari Bersatu oleh presidennya Muhyiddin Yassin. Walaupun ia pembangkang, namun Pejuang bukan parti komponen PH. Pendaftaran Pejuang juga ditolak Pendaftar Pertubuhan.

Dalam temu bual bersama The Malaysian Insight baru-baru ini, Ng berkata tidak mustahil DAP bekerjasama dengan Umno untuk menumbangkan PN yang dipimpin Muhyiddin.

Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH, kemudian membentuk kerajaan PN bersama Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan parti dari Sabah pada Februari tahun lalu.

Dr Mahathir sebelum ini berkata Anwar tidak layak jadi perdana menteri, tidak boleh dipercayai, malah beliau tidak yakin ketua pembangkang itu mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan. – 27 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen