Politik dalam filem 


Daniyal Kadir

BAGAIMANAKAH agaknya kita di Malaysia mahu menggambarkan keadaan politik negara dalam sesebuah filem?

Jika kita berbincang tentang kandungan politik dalam filem di Malaysia, sudah tentu ia dianggap sebagai sesuatu yang memerlukan keberanian untuk ditonjolkan.

Kritikan politik dalam filem menjadi sesuatu yang asing di negara kita, malah jumlah filem yang benar-benar bercakap tentang politik adalah rendah.

Ada yang menyatakan bahawa keadaan ini berlaku kerana pembikin filem tidak mahu berdepan masalah penapisan dan seterusnya menyebabkan filem mereka terpaksa dipotong atau diharamkan, ada pula yang berpandangan pembikin filem kita tidak cukup berani untuk bercakap tentang politik dalam karya mereka.

Banyak pendekatan yang telah diterokai oleh pembikin filem kita apabila mencuba untuk menyatakan pandangan mengenai isu-isu politik setempat. Malah sejak era filem klasik lagi, kita dapat melihat hakikat ini dengan jelas.

Pendekatan seperti parodi melalui gambaran komedi banyak ditampilkan sebelum ini. Kita melihat nama besar seperti P. Ramlee gemar menggunakan cara ini untuk menyalurkan kritikan yang mempunyai pengaruh politik.

Ini dapat kita saksikan dalam filem-filem P. Ramlee misalnya siri Bujang Lapok yang terkenal dengan empat filemnya itu serta filem seperti Musang Berjanggut.

Kritikan politik dalam lingkup komedi ini turut dijadikan landasan oleh Mat Sentol melalui filemnya, Mat Raja Kapur yang mencuit sindiran terhadap feudalisme.

Kritikan politik secara komedi ini kemudiannya diteruskan oleh pembikin filem tahun 1980an seperti Raja Ismail yang terkenal dengan filem-filem yang biasanya menampilkan Hamid Gurkha termasuk Ragam Pemandu dan Aku Yang Berhormat.

Ragam Pemandu misalnya walaupun tidak mempunyai naratif yang berstruktur kemas, namun dalam perca-perca babaknya, khususnya ketika sekumpulan pemandu duduk bersembang di warung, ia diselitkan dengan kritikan terhadap isu-isu politik semasa, misalnya Samy Vellu dan tol. Begitu juga Aku Yang Berhormat yang menampilkan kisah marhaen berhasrat melawan wakil rakyat sedia ada yang disifatkan gagal memainkan peranan.

Mamat Khalid merupakan nama besar yang amat dikenali membawakan elemen parodi dan komedi dalam filem-filemnya. Malah filem-filem Mamat sangat dekat dengan kritikan politik.

Kita ketawa mengingatkan babak dalam Hantu Kak Limah di mana seorang pemimpin politik berbincang dengan ketua bunian untuk memastikan semua orang bunian dapat didaftarkan sebagai pengundi. Malah Hantu Kak Limah Balik Rumah di sebalik seram komedinya, terselit sindiran terhadap krisis politik di Perak pada tahun 2009.

Man Laksa juga merangkumkan politik Melayu dalam kekuatan Mamat bermain dengan ruang dan masa. Filem Rock, Rock Oo dan Rock Bro juga melihatkan kecerdikan Mamat memanfaatkan semangat dan kefahamannya untuk memasukkan unsur-unsur kritikan berkenaan.

Ketawa yang muncul dalam filem-filem Mamat adalah ketawa sebenar terhadap realiti yang berlaku. Malah ketajaman pemikiran politik Mamat turut terjelma dalam drama televisyen yang dihasilkannya seperti 15 dan 16 Puasa serta Mat Nor Kushairi and The Velvet Boys.

Selain pendekatan komedi, kritikan politik dalam filem di Malaysia juga diambil secara lebih serius. Ini juga mempunyai galuran penting sejak era klasik. Kita melihat bagaimana P. Ramlee membawakan Antara Dua Darjat menjadikannya sebuah filem yang diingati sebagai karya yang menonjolkan pertentangan kuat unsur feudalisme.

Malah beberapa filem yang dihasilkan berpandukan kepada teks hikayat lama seperti Hang Jebat dan Dang Anom arahan Hussain Haniff juga mempunyai kepekatan tersendiri dalam menonjolkan perbahasan politik.

Di era 1980an muncul filem-filem Rahim Razali yang sangat dekat dengan permasalahan politik setempat dan semasa. Pergolakan politik Melayu khususnya muncul dalam Abang dan Matinya Seorang Patriot.

Malah Rahim kemudian menampilkan Rentak Desa yang memilih pergolakan kaum pekerja dan isu politik kapitalisme sebagai subjek. Ini semua berlingkar ketika era Dasar Ekonomi Baru dan politik negara melihatkan pergolakan.

Setelah itu, sinema negara dikejutkan dengan bentuk filem dibawakan Nasir Jani menerusi Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87. Kembara dilihat lebih garang dan ‘raw’ mewakili semangat zaman dan mempunyai pemaparan kritikan politik berterus-terang.

Begitu juga halnya dengan Rozana Cinta 87 yang dibuka dengan ketegangan di sebuah pejabat kerajaan dan watak utamanya mahu melaporkan ketidakcekapan pegawai kepada Dr Mahathir, perdana menteri pada ketika itu.

Setelah kita melihat kegarangan Nasir Jani, sekitar tahun 1990an kita dibawakan oleh Shuhaimi Baba dengan Ringgit Kassorga, sebuah filem yang memaparkan kecurangan ahli politik yang terlibat dalam skandal dan bermoral teruk.

Malah dapat diingat bagaimana nama parti dalam filem berkenaan diubah sebagai Parti MOH, walaupun dalam banyak babak melibatkan majlis rasmi parti misalnya, melihatkan bendera sebenar sebuah parti politik jelas terpampang.

Kontroversi politik menghimpit percubaan beberapa filem yang cuba membawakan sejarah alternatif negara ke ruang lebih dominan. Pengharaman filem seperti The New Village yang sebelum itu telah mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF), namun ia ditarik semula kerana desakan beberapa pihak termasuk SENIMAN yang tidak berpuas hati dan mendakwa filem berkenaan mempunyai unsur komunisme.

Begitu juga dengan dokumentari Amir Muhammad, Lelaki Komunis Terakhir yang pada asalnya telah menerima kelulusan untuk ditayangkan di pawagam, namun menerima nasib sama, atas alasan yang juga sama.

Filem pengarah tempatan yang kini berpengkalan di Taiwan, Lau Kek Huat, berjudul Boluomi turut menerima nasib sama apabila dicadangkan potongan yang banyak sehingga disifatkan menjejaskan jalan cerita.

Pengarah terkini seperti Nam Ron merupakan antara pembikin filem yang sangat bersungguh-sungguh mengerjakan filem yang menampilkan kritikan politik. Filemnya seperti Gadoh yang diarahkan secara bersama dengan Brenda Danker dan seterusnya Jalan Pintas yang diusahakan untuk ditayangkan di pawagam namun tidak berhasil kerana dicadangkan 21 potongan oleh LPF mempunyai unsur kritikan politik yang tajam termasuk dari sudut dialog, visual dan perwatakan.

Nam Ron akhirnya berjaya membawa filem One Two Jaga yang memaparkan korupsi dunia kepolisan ke ruang tayangan perdana, walaupun proses pembikinannya turut melibatkan pemerhatian rapi daripada pihak polis sendiri. Sekurang-kurangnya, Nam Ron sangat tekal dalam membawakan naratif politik dalam filem-filemnya.

Selain Nam Ron, kita juga ada filem mengejutkan daripada Shanjey Kumar Perumal yang menghasilkan Jagat. Sudah terlalu lama kita mengimpikan untuk menonton sebuah filem yang memaparkan persoalan sosiopolitik kaum India dan Shanjey mengabulkan hasrat berkenaan. Filem ini diberikan rating untuk tontonan 18 tahun ke atas semasa ditayangkan pada tahun 2015.

Percubaan Imran Sheik menerusi filem Daulat yang menggunakan pendekatan political thriller tidak diterima baik apabila filem ini tidak diluluskan untuk tayangan di pawagam.

Masih teringat ketika sebuah forum penapisan filem di ibu negara, pihak LPF memaklumkan antara sebab filem ini diharamkan adalah kerana memberikan pandangan buruk terhadap sikap ahli politik dan mempunyai kecenderungan untuk cuba menggambarkan watak-watak sebenar ahli politik tanah air. Akhirnya Daulat ditayangkan di platform dalam talian, Mubi.

Terkini kita mempunyai Prebet Sapu, sebuah hitam-putih kota Kuala Lumpur yang memaparkan sisi Hotel Seri Pacific, nama watak Kazar Bijan dan lambang-lambang parti politik sebenar dalam suasana pilihan raya, walaupun berita-berita di radio yang kedengaran dalam filem ini tidak menggunakan nama parti sebenar.

Terdapat juga pembikin filem politik yang mempunyai kecenderungan berpihak dan tidak dengan asas kritikan. Ini dapat dilihat kepada dua filem Shuhaimi Baba, 1957: Hati Malaya dan Tanda Putera serta dua yang terkini, Rise Ini Kalilah! dan M for Malaysia.

Keempat-empat filem ini mempunyai kecenderungan untuk menghangatkan kedudukan pemerintah semasa sahaja, walaupun ada antaranya mempunyai gaya pembikinan yang baik.

Senario kandungan politik dalam filem di Malaysia telah melalui kepelbagaian fasa yang mengujakan. Ia sudah tentu dinamik, namun ia masih perlu dihasilkan dengan banyak dan menarik bagi membolehkan satu desakan muncul dan filem-filem politik dapat dihasilkan dengan terbuka tanpa risau.

Kematangan penonton di Malaysia wajar dihargai kerana sehingga kini, kita masih sebuah warga yang bertatasusila tinggi dan tidak melihat filem sebagai punca kepada apa-apa ancaman.

Filem ialah medium seni untuk kita meraikan persoalan-persoalan masyarakat. Melalui filem kita mengenali diri, mengenali negara, mengenali dunia. – 20 Februari, 2022.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen