Polis lapor kes ke-9 kematian dalam tahanan tahun ini


Sejak 2015 sehingga 2021, terdapat 176 kes kematian tahanan, 44 daripadanya berlaku pada 2021, menurut data polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2022.

SEORANG lelaki berusia 43 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Dadah Merbahaya 1952 ditemui mati dalam tahanan, kes kesembilan tahun ini.

Lelaki itu ditahan pada 21 Januari lepas dan direman empat hari, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Bukit Aman Azri Ahmad.

Pada 22 Januari, lelaki itu didakwa di mahkamah tetapi gagal menyediakan penjamin.

“…menyebabkan OKT diperintahkan menjalani tahanan reman penjara. Tarikh sebutan telah ditetapkan pada 1 Februari 2022 dan bicara pada 28 Februari 2022.

“Bagaimanapun OKT ditumpangkan sementara dalam lokap polis ekoran penularan wabak Covid-19 di penjara,” kata Azri dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada 16 Februari, lelaki itu dihantar ke Hospital Kota Linggi untuk rawatan kerana demam dan muntah.  

“Ujian yang dibuat mengesahkan OKT positif Covid-19 dan ditahan di wad Covid-19 untuk rawatan lanjut. 

“Pada 18 Februari 2022 jam 4.15 pagi, OKT disahkan meninggal dunia. Punca kematian belum diketahui.”

Pada 9 Februari lepas, polis mengesahkan terdapat tujuh kes kematian dalam tahanan tahun ini, tetapi hanya satu kes melibatkan unsur jenayah.

Daripada tujuh kematian itu, empat berlaku di lokap, dua di hospital dan satu lagi kes ketika perjalanan ke hospital.

Polis memecahkan jenis kematian tahanan kepada dua kategori: kematian dalam lokap dan kematian dalam tahanan.

Mereka yang meninggal dunia ketika soal siasat pihak berkuasa atau tempoh reman dikategorikan sebagai kematian dalam tahanan, manakala mereka yang meninggal dunia di sel dikategorikan sebagai kematian dalam lokap.  

Kematian kelapan tahun ini melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun di Ibu Pejabat Polis Gombak.  

Sejak 2015 sehingga 2021, terdapat 176 kes kematian tahanan, 44 daripadanya berlaku pada 2021, menurut data polis.

Daripada jumlah itu, 82 kes adalah kematian dalam lokap dan 94 kes kematian dalam tahanan.

Pada 2021 sahaja, 14 kematian dalam lokap dan 30 kematian dalam tahanan direkodkan.

82 kematian dalam lokap melibatkan 42 tahanan Melayu, India (15), Cina (13) dan warga asing 12 orang.

Bagaimanapun profil kes kematian dalam tahanan tidak dikeluarkan pihak berkuasa. – 19 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen