Polis lapor kes kematian dalam tahanan kelapan untuk tahun ini


Elill Easwaran

Polis berkata seorang lelaki meninggal dunia ketika dalam tahanan menjadikan ia sebagai kes kelapan tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2022.

SEORANG lelaki berusia 39 tahun yang ditahan untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dan merupakan kematian tahanan kelapan sejak awal tahun ini.

Lelaki terbabit ditahan pada 4.45 petang semalam dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Gombak, dan pada 5.30 petang, mula mengadu sesak nafas, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Azri Ahmad.

“Pihak hospital telah dihubungi untuk membawa OKT (Orang Kena Tahan) tersebut ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia 14 Februari.

Katanya waktu meninggal dunia adalah pada pukul 6.30 petang dan punca kematian masih belum diperolehi. 

Pada 9 Februari, polis berkata terdapat tujuh kematian dalam tahanan tahun ini, dengan hanya satu kes melibatkan unsur jenayah.

Daripada tujuh kematian itu, empat berlaku dalam lokap, dua di hospital dan satu dalam perjalanan ke hospital.

Kematian tahanan dibahagikan kepada dua kategori - kematian dalam lokap dan kematian dalam tahanan. Orang yang mati semasa disoal siasat oleh pihak berkuasa atau semasa dalam reman diklasifikasikan sebagai kematian dalam tahanan; mereka yang mati dalam sel mereka dikategorikan sebagai kematian dalam lokap.

Kematian ketujuh tahun ini, adalah pada awal bulan ini melibatkan seorang lelaki berusia 35 tahun yang ditemui di balai polis Pandamaran di Klang.

Suspek kini ditahan reman tiga hari untuk disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek mulanya ditahan pada 1 Februari.

Malaysia menyaksikan kematian 176 tahanan dari 2015 hingga 2021, dengan rekod 44 daripadanya berlaku pada tahun lepas, menurut data polis.

Tujuh tahun lepas merekodkan 82 kematian dalam lokap dan 94 kematian dalam tahanan. Pada 2021, 14 orang mati dalam lokap dan 30 dalam tahanan.

82 kematian lokap adalah terdiri daripada tahanan Melayu (42), India (15), Cina (13) dan warga asing (12). Statistik kaum orang yang mati dalam tahanan tidak tersedia. – 15 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen