Unit khas Bukit Aman siasat kes mati di lokap Taiping


KEMATIAN seorang lelaki di satu lokap polis di Taiping menjadi kes sulung yang akan disiasat Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT), menurut Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad, berkata maklumat mengenai kematian lelaki 63 tahun itu diterima unit tersebut pagi ini.

“USJKT sedang menjalankan siasatan kes ini,” katanya menambah siasatan mendapati individu tersebut tahanan dari Penjara Taiping.

“Dia dituduh pada 18 April tahun lalu mengikut Seksyen 379A dan 324 Kanun Keseksaan.

“OKT (orang kena tuduh) ditempatkan di lokap IPD Taiping selepas sebutan pertama kes kelmarin sementara menunggu sebutan seterusnya esok,” katanya.

Unit khas USJKT mula beroperasi pada 1 Januari, khusus bagi menangani kematian dalam tahanan yang sering menjejaskan imej pasukan polis.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mengumumkan, sebanyak 82 kes kematian dalam lokap direkodkan dalam tempoh 2015 hingga 30 November 2021.

Daripada jumlah itu, 42 daripadanya adalah Melayu, 13 Cina, 15 India dan 12 warga asing.

Selain kematian dalam lokap, turut direkodkan 94 kematian dalam tahanan dalam tempoh yang sama. – 13 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen