GEMPA bumi berukuran 6.2 magnitud yang melanda barat Guatemala semalam menyebabkan kerosakan yang menjejaskan hampir 25,000 orang dan tiga maut selepas mengalami serangan jantung, kata pihak berkuasa.
Pusat gempa yang melanda pada kedalaman 84 kilometer (52 batu) adalah di daerah pantai Escuintla, kurang 100 kilometer di barat daya ibu negara Guatemala City.
Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata ia diukur sebagai gempa bumi 6.2 magnitud walaupun pihak berkuasa Guatemala menganggarkan ia lebih kuat pada 6.8 diikuti dengan gegaran susulan 4.8.
Gempa bumi itu menyebabkan tanah runtuh di jalan raya, kerosakan pada rumah dan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan kira-kira 31,300 orang, menurut perkhidmatan penyelamat.
Tiga wanita maut akibat serangan jantung yang mana pegawai mengaitkan dengan gempa itu.
Seorang wanita berusia 50 tahun meninggal dunia di Kampung Mixco, barat ibu negara. Dua lagi wanita yang umurnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa berada di jabatan utara Baja Verapaz dan bandar barat Quetzaltenango.
Gegaran itu dirasai sejauh El Salvador ke tenggara Guatemala dan di selatan Mexico.
Anggota bomba juga melaporkan tanah runtuh di jalan raya dari ibu negara ke Antigua, bandar pelancongan utama Guatemala.
Negara Amerika Tengah yang terletak di titik pertemuan tiga plat tektonik berada dalam zon berisiko untuk gempa bumi.
Tahun lepas lebih 125 gempa bumi direkodkan di Guatemala tanpa sebarang kematian atau kerosakan ketara. – AFP, 17 Februari, 2022.
Komen