Penularan varian Delta, Guatemala isytihar darurat 


Perintah berkurung malam juga akan dikuatkuasakan di Guatemala bermula Ahad dari pukul 10 malam hingga 4 pagi.– Gambar EPA, 14 Ogos, 2021.

GUATEMALA mengisytiharkan darurat dan akan mengenakan perintah berkurung malam bermula Ahad bagi mengekang penularan Covid-19 dari varian Delta, kata Presiden Alejandro Giammattei.

Perintah darurat selama 30 hari dilaksanakan berikutan lonjakan kes jangkitan dari varian Delta, kata Giammattei menerusi siaran langsung di televisyen pada Jumaat. 

“Varian Delta sangat mudah berjangkit. Ia menyebabkan penularan wabak baharu dan banyak kerajaan mengenakan perintah sekatan baharu kepada penduduk mereka bagi mengatasi masalah itu. Guatemala tidak terkecuali,” katanya. 

Guatemala yang mempunyai 17 juta penduduk merekodkan lebih 4,000 kes jangkitan baharu sehari, dan 407,564 kes keseluruhan serta 11,006 kematian sejak permulaan pandemik. 

Di bawah perintah darurat, yang perlu diratifikasi oleh Kongres, perintah berkurung malam akan dikuatkuasakan bermula Ahad dari pukul 10 malam hingga 4 pagi. 

Ia turut mempercepatkan pembelian bekalan bagi menghadapi pandemik, mengenakan harga minimum dan maksimum bagi barangan keperluan dan mengharamkan perhimpunan, walaupun demonstrasi yang mematuhi langkah penjarakan sosial akan dibenarkan. 

“Langkah itu memfokuskan untuk mengekang virus,” kata presiden yang sering berdepan bantahan dan protes berikutan dakwaan rasuah dan kegagalan menangani pandemik. 

Beliau sebelum ini pernah mengenakan darurat di Guatemala pada MAC tahun lalu selepas negara itu merekodkan kes pertama koronavirus. – AFP, 14 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen