BEKAS anggota polis Minneapolis yang didakwa melanggar hak sivil George Floyd, memberi keterangan semalam untuk mempertahankan tindakannya ketika lelaki kulit hitam berusia 46 tahun itu ditahan pada Mei 2020.
Tou Thao, 35, adalah salah seorang daripada tiga bekas anggota polis yang dibicarakan atas peranan mereka dalam kes pembunuhan Floyd, dan menjadi yang pertama memberi keterangan secara terbuka tentang apa yang berlaku pada hari kejadian.
Derek Chauvin, lelaki kulit putih, bekas pegawai polis Minneapolis yang menekan lututnya di atas leher Floyd yang sedang bergari selama hampir 10 minit hingga mangsa pengsan dan meninggal dunia, sedang menjalani hukuman penjara 22 tahun selepas disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh.
Kematian Floyd dirakam seorang orang awam yang berada di lokasi kejadian, dan video itu mencetuskan kemarahan dan protes selama berbulan-bulan di Amerika Syarikat (AS), membantah ketidakadilan kaum dan keganasan polis.
Thao, J. Alexander Kueng dan Thomas Lane adalah tiga anggota polis yang turut berada di tempat kejadian ketika Floyd ditahan kerana didakwa menggunakan wang palsu AS$20 untuk membeli sebungkus rokok.
Ketika Chauvin menekan leher Floyd, Kueng berada di belakangnya dan Lane memegang kaki mangsa.
Thao pula menghalang orang ramai menghampiri kawasan itu di mana mereka mendesak Chauvin berhenti menekan lututnya kerana Floyd kelihatan tidak berdaya.
Thao berkata dia memberitahu orang ramai yang pegawai polis itu bukan mahu mencederaan Floyd tetapi hanya juga mengekangnya.
Katanya, dia percaya Floyd berada di bawah pengaruh dadah tetapi tidak tahu betapa serius keadaannya hinggalah anggota bomba tiba di tempat kejadian. – AFP, 16 Februari, 2022.
Komen