Saksi penting pembunuhan Floyd enggan beri keterangan


Kematian George Floyd 25 Mei tahun lalu itu mencetus tunjuk perasaan di AS dan seluruh dunia. – Gambar EPA, 7 April, 2021.

SAKSI utama perbicaraan membabitkan pegawai polis yang dituduh membunuh lelaki kulit hitam George Floyd enggan memberi keterangan selepas peguamnya memaklumkan beliau boleh dikenakan tuduhan berasingan semalam.

Morries Hall, yang berada dalam kereta bersama Floyd pada hari kejadian, kini berada dalam tahanan dan dipanggil memberi keterangan menerusi video.

“Ada topik kecil yang mungkin boleh dibenarkan,” kata Hakim Peter Cahill ketika peguam Hall berhujah bahawa mustahil untuk anak guamnya itu disoal balas tanpa dituduh.

Hall dilihat sebagai saksi penting bagi pasukan pembelaan pegawai polis Derek Chauvin, yang melutut di leher Floyd yang ketika itu bergari selama lebih sembilan minit. Perbuatan Chauvin itu dirakam dalam satu video yang tersebar di media sosial.

Rakaman kejadian pada 25 Mei tahun lalu itu mencetus tunjuk perasaan di Amerika Syarikat (AS) dan seluruh dunia.

Ketua polis Minneapolis Medaria Arradondo semasa memberi keterangan pada Isnin berkata tindakan melutut di leher Floyd selepas mangsa berhenti melawan jelas melanggar prosedur.

Beberapa saksi lain pada perbicaraan semalam juga memberitahu mahkamah perkara yang sama ketika disoal mengenai tindakan Chauvin.

Seorang saksi, Leftenan Johnny Mercil, ketika ditunjukkan gambar Chauvin sedang melutut di leher Floyd berkata ia bukan prosedur penahanan yang dibenarkan.

“Pegawai diberitahu supaya mengelak bahagian leher dan jika perlu menggunakan berat badan, lakukan pada bahagian bahu,” kata Mercil ketika disoal balas peguam.

Pendakwa cuba membuktikan kematian Floyd disebabkan oleh sesak nafas, manakala peguam bela Chauvin mendakwa ia disebabkan ubat-ubatan haram dalam sistem badan mangsa.

Peguam Eric Nelson yang mewakili Chauvin mengesahkan beliau mahu menyoal Hall sama ada saksi tiu menjual atau memberi dadah kepada Floyd.

Peguam Hall berkata “terdapat dakwaan bahawa Floyd menelan bahan terkawal ketika polis mengeluarkannya dari kereta” 

“Ini menyebabkan Hall berpotensi membabitkan dirinya sendiri.”

Hakim berkata beliau akan memutuskan kemudian berkenaan permohonan Hall untuk tidak memberi keterangan.

Chauvin, yang dipecat daripada pasukan polis selepas kejadian itu, mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh dan membunuh tanpa niat. – AFP, 7 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen